Dengar playlist penuh di sini
.
“Anak aku baik-baik saja.”
“Dia orang yang kami kenal.”
“Tak mungkin benda macam ni jadi pada keluarga kami.”
Ayat-ayat inilah yang sering kedengaran sebelum sesuatu yang buruk berlaku. Hakikatnya, sexual grooming bukan cerita luar negara atau kes terpencil. Ia sedang berlaku di sekeliling kita secara senyap, licik dan sering dilakukan oleh individu yang paling dipercayai.
Mak ayah, tolonglah! Inilah masanya kita buka mata.
Sexual grooming ialah proses di mana satu orang dewasa membina hubungan secara berperingkat dengan kanak-kanak atau remaja, bertujuan untuk memanipulasi emosi, kepercayaan, dan sempadan, sebelum berlakunya penderaan seksual sama ada secara fizikal atau dalam talian.
Ia bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah proses yang dirancang, perlahan dan sangat halus.
Pemangsa akan tampil sebagai orang yang “baik”. Suka menolong, prihatin, suka berbual dengan anak-anak dan sering ada bila anak perlukan sokongan. Mereka tahu kepercayaan ibu bapa adalah kunci utama.

Anak mula diberi layanan berbeza. Memberi hadiah kecil, pujian berlebihan atau perhatian yang membuatkan mereka rasa “istimewa”. Ini membuatkan emosi anak bergantung kepada individu tersebut.
Pelahan-lahan, pemangsa akan cuba menjauhkan anak daripada ibu bapa atau rakan. Sama ada secara fizikal atau emosi. Anak mula simpan rahsia, kurang bercerita atau menjadi defensif bila ditanya.
Sentuhan “gurauan”, perbualan berunsur seksual atau perkongsian gambar mula dianggap normal. Anak keliru andai ini salah atau biasa. Pemangsa memanipulasi sempadan tanpa disedari.
Apabila anak sudah takut, keliru atau terikat emosi, eksploitasi berlaku. Dan ketika ini, ramai mangsa tak berani bersuara kerana takut, malu atau rasa bersalah.
Ini bahagian paling sukar untuk diterima tetapi paling penting:
Pemangsa selalunya bukan orang asing.
Mereka boleh jadi kenalan keluarga, guru, jurulatih, jiran dan ahli komuniti. Wajah baik, tutur kata lembut, imej “orang dipercayai”.
Mak ayah perlu faham: berwaspada bukan bermakna berburuk sangka tetapi melindungi.
Yang paling penting adalah percaya naluri sendiri dan naluri anak.
Sexual grooming hidup dalam senyap tetapi kesannya bertahan seumur hidup. Mak ayah adalah barisan pertahanan pertama. Jangan tunggu tragedi untuk bertindak.
Buka mata. Buka telinga.
Dan ingat, melindungi anak kadang-kadang bermaksud tidak mempercayai sesiapa sepenuhnya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.