Dengar playlist penuh di sini
.

Bila sakit di bahagian hulu hati, kebanyakan orang terus buat satu andaian iaitu gastrik.
Perut pedih, rasa mencucuk sampai ke belakang, kadang-kadang disertai demam sedikit. Ramai yang akan cuba tahan sahaja. Ada yang makan ubat gastrik, ada yang tunggu sakit itu reda sendiri.
Tetapi kadang-kadang, apa yang kita sangka “gastrik biasa” sebenarnya jauh lebih serius.
Seorang pesakit pernah datang berjumpa doktor dengan aduan sakit kuat di bahagian hulu hati. Pada awalnya, dia sendiri menyangka itu cuma gastrik. Namun kesakitan yang dialami sangat teruk, sampai tembus ke belakang dan menyebabkan dia muntah.
Keadaan itu membuatkan doktor terus melakukan pemeriksaan lanjut.
Ujian darah penuh dilakukan, termasuk melihat bacaan enzim hati. Apabila keputusan keluar, semua orang terkejut. Bacaan enzim hati pesakit itu sangat tinggi, ada yang mencecah hampir 2000 malah ada yang hampir 4000.
Bacaan sebegitu biasanya menandakan hati sedang mengalami keradangan yang serius.
Pesakit terus dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut. Doktor menjalankan pelbagai ujian termasuk saringan untuk Hepatitis A, B dan C. Namun semua keputusan tersebut negatif.
Imbasan CT scan juga dilakukan untuk melihat keadaan hati dengan lebih jelas. Anehnya, tiada tanda ketumbuhan. Tiada sirosis. Tiada fatty liver.
Hati kelihatan normal dari segi struktur.
Selepas beberapa hari rawatan dan pemantauan, keadaan pesakit semakin stabil. Bacaan enzim hati mula menurun dan akhirnya dia dibenarkan pulang apabila fungsi hati kembali hampir normal.
Namun persoalan masih bermain di fikiran doktor. Apakah sebenarnya punca keradangan hati yang begitu tinggi?
Kemudian pesakit teringat satu perkara penting.
Beberapa hari sebelum sakit itu bermula, dia ada makan siput sedut.

Dari situ, doktor terus mendapat satu kemungkinan yang jarang didengar hari ini iaitu liver fluke atau cacing hati.
Liver fluke ialah sejenis parasit yang boleh hidup dalam hati manusia. Ia biasanya berasal dari air yang tidak dirawat seperti sungai atau kawasan air tercemar. Parasit ini boleh berada dalam hidupan air seperti siput dan jika makanan tersebut tidak dimasak dengan sempurna, ia berpotensi masuk ke dalam tubuh manusia.
Apabila parasit ini sampai ke hati, ia boleh menyebabkan keradangan yang serius.
Kes seperti ini memang jarang berlaku tetapi ia bukan mustahil. Mujur dalam kes pesakit ini, keadaan dapat dikesan lebih awal dan fungsi hati akhirnya kembali normal.
Doktor sendiri mengakui, bayangkan jika pesakit itu terus menganggap sakit tersebut hanya gastrik dan tidak mendapatkan rawatan. Parasit itu mungkin terus hidup dan membiak dalam hati tanpa disedari.
Daripada kisah ini, ada dua pengajaran penting.
Pertama, jangan anggap semua sakit perut adalah gastrik. Jika sakit menjadi terlalu kuat, berpanjangan atau disertai simptom lain seperti muntah dan demam, sebaiknya dapatkan pemeriksaan segera.
Kedua, berhati-hati apabila makan makanan laut terutamanya hidupan dari sungai atau air yang tidak diketahui tahap kebersihannya.
Pastikan makanan dimasak dengan sempurna, benar-benar panas dan mendidih supaya sebarang parasit atau bakteria dapat dimusnahkan.
Kadang-kadang, satu hidangan yang kelihatan biasa boleh membawa risiko yang tidak disangka.
Dan dalam kes ini, apa yang disangka gastrik… rupa-rupanya hampir menjadi masalah besar di dalam hati.
Syukur ..selamat!
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.