Dengar playlist penuh di sini
.
Musim perayaan sering menjadi “ujian besar” buat sesiapa yang sedang menjaga kesihatan atau dalam proses menurunkan berat badan. Dengan limpahan rendang, ketupat, dan aneka kuih-muih, godaan untuk makan berlebihan memang sukar ditepis. Namun, orang yang berfikiran matang tahu bahawa menyambut hari raya bukan bermaksud kita perlu “menggadaikan” kesihatan yang telah dijaga berbulan-bulan.
Ramai yang masuk ke rumah terbuka dengan mentaliti “balas dendam” selepas sebulan berpuasa. Hakikatnya, perut kita mempunyai kapasiti yang terhad. Cara paling berkesan untuk mengawal pengambilan kalori adalah dengan mempraktikkan Suku-Suku Separuh walaupun di meja jamuan.
Satu cabaran besar di Malaysia adalah apabila tuan rumah “memaksa” kita menambah makanan. Di sinilah kebijaksanaan kita berkomunikasi diuji. Janganlah menolak dengan kasar sehingga menyinggung perasaan, tetapi belajarlah untuk berkata “tidak” dengan sopan.
Cukup sekadar berkata, “Terima kasih kak, masakan memang sedap sangat, tapi saya dah kenyang benar ni. Nak simpan ruang untuk rasa kuih raya sikit nanti.” Orang yang berpendidikan tahu menjaga hati orang lain tanpa mengabaikan prinsip kesihatan diri sendiri. Jangan rasa bersalah jika tidak menghabiskan semua jenis juadah yang dihidangkan.
Ramai terlepas pandang tentang air manis. Segelas air sirap atau air berkarbonat boleh mengandungi kalori yang hampir menyamai sepinggan kecil makanan. Sebaiknya, sentiasa bawa botol air kosong sendiri atau minta air kosong daripada tuan rumah. Jika mahu merasa air manis, ambil dalam kuantiti yang kecil (sip only) sekadar untuk merasa.
Jangan jadikan “hari raya” sebagai alasan untuk berhenti bersenam. Jika jadual open house padat, pastikan anda tetap melakukan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan kaki atau menaiki tangga.
Kesihatan adalah amanah. Menikmati juadah itu perlu, tetapi kawalan kendiri adalah tanda kita seorang individu yang mempunyai disiplin dan kualiti hidup yang tinggi.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.