Dengar playlist penuh di sini
.

Dalam diam, satu trend semakin jelas dalam masyarakat hari ini adalah anak dijadikan “trofi”. Setiap pencapaian mereka dipamer, setiap kejayaan dijadikan bahan kebanggaan dan setiap kegagalan pula cuba disorokkan.
Bangga Itu Normal, Tapi Bila Ia Bertukar Jadi Tekanan
Sekali pandang, nampak macam perkara biasa. Ibu bapa bangga dengan anak, itu fitrah. Tapi bezanya hari ini, kebanggaan itu kadang-kadang berubah jadi tekanan yang tak terlihat.
Kita mula nampak anak bukan sebagai individu yang sedang membesar tapi sebagai “projek” yang perlu berjaya. Masuk kelas itu, sertai pertandingan ini, capai keputusan terbaik..semuanya seolah-olah satu checklist yang mesti ditanda.
Kenapa ini berlaku?
Media Sosial: Punca Perbandingan Tanpa Henti
Salah satu sebabnya ialah pengaruh media sosial. Setiap kejayaan anak mudah dikongsi…gambar naik pentas, dapat anugerah, masuk sekolah elit. Tanpa sedar, ia mencipta satu budaya perbandingan. Anak orang lain nampak hebat, jadi anak sendiri pun perlu jadi hebat juga.
Masalahnya, tidak semua anak dibina dengan cara yang sama.
Bila Nilai Diri Anak Diukur Melalui Pencapaian
Bila ibu bapa terlalu fokus pada pencapaian, anak mula rasa nilai diri mereka bergantung kepada prestasi. Kalau berjaya, mereka disayangi. Kalau gagal, mereka rasa tidak cukup baik.
Ini sangat berbahaya untuk perkembangan emosi.
Tekanan Senyap Yang Boleh Rosakkan Emosi Anak
Ada anak yang akhirnya belajar untuk menyembunyikan kegagalan. Ada yang takut mencuba perkara baharu kerana takut tak menjadi. Lebih menyedihkan, ada yang hidup dalam tekanan untuk sentiasa perform, walaupun dalam hati mereka penat.
Hubungan Retak Dalam Diam, Tanpa Kita Sedar
Dalam kes tertentu, hubungan antara ibu bapa dan anak juga boleh terjejas. Anak mungkin nampak patuh di luar tapi dalam diam mereka menjauh. Sebab mereka rasa tidak diterima sepenuhnya sebagai diri sendiri.
Namun, penting juga untuk kita adil.
Tak Semua Ibu Bapa Salah, Niat Mereka Tetap Sama
Tidak semua ibu bapa berniat menjadikan anak sebagai trofi. Ramai yang hanya mahu yang terbaik untuk anak. Cuma dalam usaha itu, kadang-kadang kita terlupa satu perkara penting…anak bukan alat untuk membuktikan sesuatu kepada orang lain.
Bukan Alat Untuk Buktikan Kejayaan Kita
Mereka bukan simbol kejayaan kita.
Mereka adalah individu yang ada minat, kelebihan dan perjalanan hidup sendiri.
Peranan ibu bapa bukan untuk memastikan anak sentiasa di depan tapi untuk memastikan anak cukup kuat bila berada di belakang, cukup yakin bila gagal dan cukup tenang jadi diri sendiri.
Nilai Sebenar Anak Diukur Bila Mereka Dewasa Nanti
Akhirnya, kejayaan sebenar bukan pada berapa banyak trofi yang anak kumpul tapi pada siapa mereka jadi bila dewasa nanti.
Kalau mereka membesar dengan rasa dihargai, disokong dan diterima walau dalam keadaan apa pun, itu jauh lebih bernilai daripada apa-apa anugerah di atas pentas.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.