Dengar playlist penuh di sini
.

Anak makan sambil tengok telefon? Realitinya, memang ramai. Kalau pergi restoran, cuba tengok sekeliling. Budak-budak makan tapi mata lekat pada screen. Mulut kunyah tapi fikiran entah ke mana. Dan jujur kita cakap, ini bukan benda yang okey. Jangan sedapkan hati dengan ayat, “Anak aku okey je.” Hakikatnya, ada benda yang tak kena.
Bila anak makan depan telefon, dia sebenarnya tak makan dengan betul. Dia makan secara automatik tanpa fokus. Dia tak sedar apa yang dia makan, tak rasa makanan itu dan tak faham bila dia sebenarnya sudah kenyang. Badan dia pun jadi keliru. Makan sepatutnya proses yang sedar bila kunyah, rasa, hadam. Tapi bila otak sibuk tengok video, badan tak dapat signal yang jelas.
Akibatnya, anak boleh makan berlebihan atau sebaliknya langsung tak cukup. Sistem penghadaman pun tak bekerja secara optimum sebab badan tak berada dalam keadaan “bersedia untuk makan”. Lebih daripada itu, ia juga beri kesan pada emosi anak.
Anak yang biasa makan dengan skrin akan mudah tantrum bila telefon atau tablet diambil. Sebab bagi dia, makan sudah dikaitkan dengan hiburan. Bila hiburan itu tiada, dia rasa tak selesa. Itu yang buat dia marah, menangis atau mengamuk. Kita ingat kita sedang memudahkan urusan tapi sebenarnya kita sedang mencipta kebergantungan tanpa sedar.
Lama-kelamaan, anak tak tahu makan tanpa distraksi. Dia perlukan skrin untuk tenang. Dan ini bukan sesuatu yang sihat untuk perkembangan dia.
Satu lagi yang kita selalu lupa, makanan itu adalah rezeki. Nikmat yang Allah bagi untuk kita dapat tenaga dan kesihatan. Bila kita makan, itu juga satu bentuk syukur. Tapi bila anak makan sambil tengok skrin, bila masa dia nak belajar hargai nikmat itu? Dia tak pandang makanan, dia tak kenal rasa dan dia tak faham bahawa itu semua adalah pemberian yang perlu dihargai.
Tak salah kalau sekali-sekala. Kita semua manusia. Tapi kalau setiap hari, itu dah jadi kebiasaan. Dan kebiasaan inilah yang akan membentuk cara anak membesar.
Jadi sebagai ibu ayah, kita kena jujur dengan diri sendiri. Jangan cari alasan untuk rasa selesa. Kalau anak tak boleh makan tanpa telefon, itu bukan tanda dia mudah dijaga, itu tanda dia sudah bergantung.
Mulakan perlahan-lahan. Kurangkan penggunaan skrin semasa makan. Ajak anak berbual, bagi dia fokus pada makanan dan suasana sekeliling. Mungkin susah pada awalnya, mungkin akan ada tantrum. Tapi itu adalah sebahagian daripada proses.
Sebab tujuan kita bukan sekadar nak senangkan keadaan hari ini tapi nak membentuk anak untuk jangka panjang. Dan percayalah, anak yang belajar makan dengan tenang dan sedar akan membesar dengan lebih baik, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga emosi dan sikapnya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.