Dengar playlist penuh di sini
.
Kecoh betul media sosial baru-baru ni pasal isu sesetengah netizen kita yang merungut pasal masjid penuh dengan warga asing masa solat Sunat Aidiladha haritu. Antara yang paling mendapat tumpuan adalah situasi kat Masjid Putra, Putrajaya, dan juga Masjid Cyberjaya. Ramai yang meluahkan rasa kurang selesa bila tengok saf-saf solat dipenuhi dengan jemaah dari negara Arab, China, India, Pakistan, dan macam-macam bangsa lagi seolah-olah masjid tu dah ‘dijajah’ oleh orang luar.
Masalahnya, segelintir netizen yang bising ni macam katak bawah tempurung yang baru keluar gua dan tak faham realiti lokaliti tempat yang dorang pergi tu. Contoh paling mudah, Masjid Pink Putrajaya tu memang dari dulu lagi diiktiraf sebagai pusat tarikan pelancongan utama, terutamanya untuk segmen muslim tourism. Dah tentulah pelancong Muslim dari seluruh pelosok dunia teringin nak merasai pengalaman solat raya kat situ. Begitu juga kes kat Masjid Cyberjaya, umum tahu kawasan tu lubuk universiti antarabangsa yang mana majoriti pelajarnya memang datang dari luar negara. Dah kalau korang pergi solat kat kawasan hab antarabangsa, takkan la korang harapkan pakcik kariah kampung korang pulak yang penuhkan saf kat situ?
Kalau rasa diri tu tak boleh nak bercampur, rasa rimas tengok kepelbagaian, atau rasa ‘terpaling’ tuan tanah, jalan penyelesaian dia mudah je, janganlah gatal-gatal pergi solat kat kawasan perbandaran atau pusat international macam tu. Pergilah solat kat surau atau masjid dalam kampung sendiri yang memang tak ada orang asing boleh sampai. Tapi tulah, niat asal melangkah kaki ke masjid tu dah sangat baik sebab nak laksanakan ibadah solat, tapi sayang betul sebab hati tu masih belum cukup bersih dan masih terselit rasa entitled dunia ni hanya untuk kaum kita sahaja.
Cuba kita duduk sekejap, tarik nafas, dan check balik hati tu kenapa mudah sangat rasa tak senang dengan kewujudan bangsa lain dalam rumah Allah. Masjid tu rumah Tuhan, bukannya kelab eksklusif warganegara yang perlukan kad keahlian. Siapalah kita sebagai hamba yang kerdil ni nak menidakkan atau rasa ralat dengan kehadiran tetamu-tetamu-Nya yang datang nak menyembah Tuhan yang sama? Dorang pun hamba Allah yang ada hak sama rata untuk sujud kat atas karpet masjid tu.
Cuba pusing sudut pandang kita tu biar jadi lebih positif dan janganlah toksik sangat. Sepatutnya kita rasa bangga dan terharu bila tengok rumah Allah sentiasa makmur dan meriah dengan kepelbagaian warna kulit serta bangsa, macam suasana kat Mekah dan Madinah. Keindahan Islam tu kan terletak pada penyatuan ummah tanpa mengira warna pasport. Jadi, daripada kita sibuk nak komplen pasal siapa yang solat di sebelah kita, apa kata kita fokus bersihkan hati sendiri dulu supaya ibadah kita betul-betul diterima.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.