Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak korang tengah syok lepak atau buat hal sendiri kat tempat awam, tiba-tiba rasa macam ada kamera tengah lurus menghala kat arah korang? Zaman sekarang ni, trend angkat telefon, rakam, dan terus muat naik ke media sosial macam dah jadi satu tabiat automatik. Sikit-sikit nak buat ‘aesthetic klip’, sikit-sikit nak kongsi ‘suasana’. Tapi sedar atau tidak, perbuatan ni dah mula melanggar sempadan privasi orang lain. Tolonglah stop normalisasikan tabiat ambil gambar atau video orang asing secara sesuka hati kat tempat awam ni.
Kalau betul pun korang cuma niat nak rakam video suasana atau pemandangan sekeliling, cubalah sedaya upaya untuk elakkan daripada nampak muka orang dengan jelas. Jaga sikit privasi orang lain. Kita tak tahu, mungkin ada individu kat situ yang tengah lari daripada masalah, ada yang tak mahu keberadaan mereka diketahui, atau sekadar mahu menikmati masa peribadi tanpa wajah mereka dicanang satu internet. Kita kena faham yang tempat awam bukan lesen besar untuk kita jadikan semua orang sebagai prop percuma dalam kandungan media sosial kita.
Baru-baru ni, ada satu kes kat Threads yang betul-betul buat ramai orang naik hantu. Sorang makcik ni dengan selamba post gambar sekumpulan wanita berniqab tengah menikmati ‘private moment’ dorang. Kejadian tu berlaku kat kawasan ruang khas wanita sahaja, jadi group niqabis ni pun selaklah niqab untuk nak makan dan bersembang dengan selesa. Tanpa mereka sedar atau izin, makcik ni dah tangkap gambar mereka masa tak pakai niqab dan paparkan secara terbuka kat media sosial. Ini memang satu tindakan yang langsung tak menghormati orang dan sangat melampau.
Bagi wanita yang memilih untuk berniqab, wajah mereka adalah privasi yang sangat dipelihara. Bila mereka berada kat ruang khusus wanita, sepatutnya rasa selamat untuk jadi diri sendiri. Tindakan ambil gambar curi macam tu bukan je memalukan, tapi dah meragut rasa selamat golongan ini kat tempat awam. Bayangkan betapa trauma dan marahnya mereka kalau dapat tahu wajah mereka yang dijaga rapi selama ni, tiba-tiba jadi tatapan umum dalam internet gara-gara sikap pentingkan diri sorang manusia yang gila glamor atau gila ‘likes’.
Sebelum kita nak tekan butang rakam tu, cuba letakkan diri kita kat tempat orang lain. Suka ke kalau muka kita yang tengah terkedek-kedek makan, tengah menguap, atau tengah gaduh dengan anak tiba-tiba viral kat TikTok atau Threads? Kalau nak ambil gambar suasana, belajarlah teknik sorok muka orang, kaburkan (blur), atau pusing kamera ke arah lain. Hormatlah hak privasi orang sekeliling. Telefon tu cerdik, jadi biarlah pemiliknya pun cerdik dan ada sivik sama.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.