Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Rumah Tangga Bahaya Bila Suami Isteri Mula Jadi “Roommate”?

Tiada pergaduhan besar, namun hubungan semakin kosong. Ramai pasangan sebenarnya sedang melalui fasa ini.

Kadang-kadang sesebuah rumah tangga tu, kita nampak semuanya okey.

Rumah masih ada. Pasangan masih ada. Anak-anak membesar depan mata. Makan minum cukup, bil berbayar, kerja rumah siap. Dari luar, tak nampak ada masalah besar pun.

Tapi kalau ditanya secara jujur, ada pasangan yang sebenarnya sedang hidup dengan satu kekosongan yang susah nak dijelaskan.

Bukan sebab dah tak sayang.

Bukan sebab orang ketiga.

Bukan juga sebab selalu bergaduh.

Tapi sebab connection antara dua hati itu dah makin hilang.

Hakikatnya, benda paling bahaya dalam rumah tangga bukan pergaduhan. Pergaduhan masih menunjukkan ada perasaan, masih ada usaha untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati. Yang lebih menakutkan adalah apabila semuanya jadi terlalu senyap.

Tiada lagi salam sebelum keluar bekerja.

Tiada lagi pelukan waktu tidur.

Tiada lagi tangan yang dicapai ketika berjalan bersama.

Balik kerja, masing-masing terus dengan telefon atau urusan sendiri.

Nak berbual pun sekadar perkara yang perlu. Tentang anak, bil, barang dapur atau jadual esok.

Solat sama-sama pun dah tak ada.

Lama-lama, hubungan itu masih ada pada nama tetapi kehangatan yang pernah menghidupkannya sudah semakin pudar.

Duduk serumah tetapi rasa macam roommate.

Sedihnya, ramai pasangan tidak sedar perkara ini sedang berlaku. Mereka terlalu sibuk menjadi suami yang bertanggungjawab atau isteri yang cekap mengurus keluarga sehingga terlupa satu perkara penting.

Pasangan kita bukan sekadar perlukan tanggungjawab.

Pasangan kita juga perlukan hubungan.

Perlukan perhatian.

Perlukan sentuhan.

Perlukan rasa dihargai dan disayangi.

Kadang-kadang, secawan air yang dibuat tanpa diminta lebih bermakna daripada hadiah yang mahal. Kadang-kadang, pelukan sewaktu hendak tidur tidur boleh memberi rasa tenang yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Kadang-kadang, duduk berbual tanpa gangguan telefon selama 10 minit sudah cukup untuk mengingatkan bahawa kita masih saling memiliki.

Rumah tangga bukan sekadar memastikan semuanya berjalan lancar. Rumah tangga juga tentang memastikan hati yang tinggal di dalamnya terus terhubung.

Sebab itu, jangan sampai kita terlalu penat menjaga rumah tangga sehingga terlupa menjaga hubungan.

Apabila connection itu hilang, semuanya masih ada je di depan mata….

Rumah masih ada.

Pasangan masih ada.

Tetapi rasa dekat yang suatu ketika dahulu membuatkan kita memilih satu sama lain, perlahan-lahan menghilang.

Dan itulah saatnya dua orang yang saling mencintai mula terasa seperti orang asing dalam kehidupan masing-masing.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.