Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Isu Pelarian Rohingya: Kenapa Netizen Mulai Hilang Sabar?

Kenapa Malaysia yang perlu menanggung beban, dipersalahkan dan ditekan, sedangkan punca utama krisis ini adalah kekejaman kerajaan Myanmar sendiri?

Laman Threads dan media sosial sejak seminggu dua ini dipenuhi dengan luahan amarah netizen yang rata-ratanya merasakan tahap kesabaran mereka sudah berada di paras maksimum. Isu utama yang paling banyak dikongsi adalah gangguan emosi dan fizikal daripada peminta sedekah pelarian Rohingya. Netizen meluahkan rasa rimas, takut, dan marah apabila dikepung atau cermin kereta diketuk dengan agresif di persimpangan lampu isyarat. Pengalaman-pengalaman peribadi di mana netizen dimarahi, dijeling, atau diekori rapat hanya kerana tidak memberikan wang telah mencetuskan rasa tidak selamat di tanah air sendiri.

Selain itu, kemarahan netizen semakin memuncak apabila melihat kawasan setempat, seperti sekitar Pasar Borong Selayang, bertukar wajah. Luahan di media sosial menunjukkan rakyat tempatan berasa terasing dan “dijajah” secara ekonomi di kawasan mereka sendiri. Netizen mempersoalkan isu kebersihan yang semakin merosot, longgokan sampah, dan sikap tidak memedulikan budaya tempatan yang akhirnya membuatkan orang kita sendiri ‘geli’ dan enggan lagi menjejakkan kaki ke sana. Bagi netizen, ini bukan lagi soal perkongsian ruang, tetapi perpindahan penguasaan kawasan yang merugikan komuniti tempatan serta merosakkan pemandangan.

Isu yang paling mencetuskan kemarahan dan tular di Threads adalah kes pencerobohan tanah serta sikap tidak mengenang budi. Hantaran mengenai sebuah keluarga yang memberikan peluang pekerjaan di ladang sawit, tetapi akhirnya kawasan tersebut dipenuhi dengan penempatan haram komuniti mereka, benar-benar menyentuh sensitiviti netizen. Apabila tuan tanah pula yang diancam dan dikasari, netizen melihat tindakan ini sebagai satu bentuk “pijak kepala” yang sangat melampau. Kisah-kisah sebegini membuatkan netizen berasa dikhianati. Ada juga dakwaan tentang penuntutan hak dan tanah kepada warga Rohingya, namun belum disahkan kesahihannya, kalau benar, ini betul-betul bakal menggugat keharmonian negara.

Satu perkara lagi yang paling membuatkan netizen “panas hati” adalah naratif daripada aktivis seperti Yasmin Ullah yang sering menuntut hak bagi pihak Rohingya. Netizen berasa sangat terkilan dan marah apabila pihak aktivis seolah-olah meletakkan kesalahan di bahu Malaysia dan menuduh negara ini tidak menjaga kebajikan mereka. Netizen mempersoalkan, kenapa Malaysia yang perlu menanggung beban, dipersalahkan, dan ditekan, sedangkan punca utama krisis ini adalah kekejaman kerajaan Myanmar sendiri? Bagi netizen, sikap menuntut-nuntut hak sebegini dipandang sebagai satu tindakan yang tidak sedar diri dan langsung tidak menghormati kedaulatan serta kebaikan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia selama ini. Diharapkan, kerajaan dapat memberikan solusi terbaik dan tegas untuk isu yang dibincangkan netizen ini secepat mungkin.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.