Dengar playlist penuh di sini
.

Kenyataan atlet muda sensasi, Johan Ghazali, yang didakwa melabel kunafa sebagai “makanan sampah” baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen. Ada yang bersetuju, ada yang membantah dan tidak kurang juga yang mempertahankan pencuci mulut popular dari Timur Tengah itu.
Namun, adakah hidangan ini benar-benar patut digelar sebagai “makanan sampah”?
Jika dilihat kepada bahan-bahan yang digunakan, kebanyakannya terdiri daripada bahan makanan biasa seperti tepung, mentega, keju dan sirap gula. Tiada apa yang luar biasa atau meragukan dari sudut keselamatan makanan. Malah, pencuci mulut ini mengandungi karbohidrat, sedikit lemak dan protein daripada keju.
Apabila dimakan, ia akan melalui proses pencernaan seperti makanan lain. Karbohidrat, protein dan lemak akan dipecahkan di dalam sistem penghadaman sebelum diserap ke dalam badan.
Apa yang sering menjadi perhatian pakar pemakanan adalah kandungan gula dan karbohidrat bertapis yang agak tinggi dalam hidangan ini. Disebabkan ia mudah dicerna, paras gula dalam darah boleh meningkat dengan lebih cepat berbanding makanan yang tinggi serat.
Bagi individu yang menghidap diabetes atau mempunyai masalah kawalan gula dalam darah, pengambilan makanan manis secara berlebihan sememangnya boleh menimbulkan risiko. Paras gula yang tinggi secara berpanjangan boleh menyumbang kepada pelbagai komplikasi kesihatan termasuk keradangan kronik, obesiti dan masalah metabolik.
Namun begitu, perkara ini perlu dilihat dalam konteks yang betul. Makan pencuci mulut ini sekali-sekala tidak bermakna seseorang akan terus menghidap diabetes pada keesokan harinya. Penyakit kronik seperti diabetes dan obesiti biasanya berkembang dalam tempoh yang panjang akibat gabungan pelbagai faktor termasuk corak pemakanan dan gaya hidup.
Jadi, melabel hidangan ini sebagai “makanan sampah” mungkin tidak wajar. Bagi individu yang sihat, pengambilan secara sederhana tidak semestinya membawa mudarat. Seperti kebanyakan makanan lain, kuncinya adalah keseimbangan.
Jika benar ia “sampah”, kesannya tentu jauh berbeza. Sampah sebenar mengandungi kotoran dan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan walaupun dimakan dalam jumlah sedikit.
Kalau nak disimpulkan, kunafa bukanlah makanan sampah. Ia hanyalah pencuci mulut manis yang perlu dinikmati secara berpada-pada, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.