Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Anak Menderita Dalam Diam Hadapi Sikap Ibu Yang Melampau

Ibu mengamalkan sikap narsistik, manipulatif dan mengawal hidup anak secara mutlak tanpa memedulikan sempadan emosi serta kesihatan mental mereka.

Ungkapan “syurga di bawah telapak kaki ibu” adalah satu konsep yang sangat murni dalam membina institusi keluarga. Menghormati dan berbakti kepada wanita yang melahirkan kita merupakan kunci utama untuk meraih keredaan Tuhan. Namun, di sebalik keindahan falsafah ini, wujud satu realiti yang sangat pahit dan jarang berani disuarakan secara terbuka,bagi sesetengah anak, hubungan dekat dengan ibu sendiri tidak dirasakan sebagai jalan ke syurga, sebaliknya bagaikan menempah jalan ke neraka dunia dan akhirat akibat tekanan emosi yang melampau.

Realiti ini timbul apabila seorang anak terpaksa berhadapan dengan perangai dan toksisiti melampau daripada ibu kandung sendiri. Terdapat situasi di mana si ibu mengamalkan sikap narsistik, manipulatif, dan mengawal hidup anak secara mutlak tanpa memedulikan sempadan emosi serta kesihatan mental mereka. Anak-anak ini sering dijadikan mangsa lambakan emosi negatif, dibanding-bandingkan, malah dikerah dari segi kewangan melebihi kemampuan sehingga menyekat masa depan mereka sendiri. Setiap keputusan hidup anak, daripada sekecil-kecil urusan kerjaya sehinggalah kepada pemilihan pasangan hidup, mesti tunduk kepada ego si ibu. Ada juga yang terpaksa mendengar bebelan dan tempikan sepanjang masa di dalam rumah sendiri, sehinggakan mewujudkan rasa “anxiety”, duduk dengan ibu bagaikan ada ticking bomb yang boleh meletup pada bila-bila masa, maka anak-anak terpaksa hidup dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati.

Apa yang menjadikannya sebuah “neraka” adalah dilema rohani dan mental yang terpaksa ditanggung oleh si anak. Apabila mereka cuba mempertahankan diri atau menetapkan batas sempadan demi kelangsungan hidup, senjata paling mudah yang akan digunakan terhadap mereka adalah perkataan “derhaka”. Ugutan emosi seperti air susu tidak halal atau doa yang buruk acap kali dihamburkan. Tekanan ini akhirnya meletakkan anak-anak dalam keadaan serba salah yang kronik, kekal bertahan bermakna mental mereka lumat dan binasa, manakala menjauhkan diri pula membuatkan mereka dihantui rasa bersalah serta kecaman masyarakat sekeliling.

Pada tahap yang ekstrem, ada anak yang mula hilang sabar, lalu mengeluarkan kata-kata kesat atau menyimpan rasa benci yang mendalam terhadap ibu sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan “menempah jalan ke neraka”, di mana perlakuan melampau daripada ibu akhirnya mengheret anak ke lembah dosa akibat hilangnya waras dalam menahan sabar. Mereka terperangkap dalam kitaran toksik yang merosakkan jiwa dan iman mereka secara perlahan-lahan.

Hubungan kekeluargaan sepatutnya dibina atas dasar kasih sayang dan rasa hormat yang saksama, bukannya atas dasar ketakutan atau manipulasi kuasa. Tanggungjawab menghormati ibu bapa tidak seharusnya menjadi tiket mutlak untuk menghalalkan kezaliman emosi terhadap anak-anak. Hubungan ini memerlukan sempadan yang sihat, di mana anak tetap berbakti mengikut kemampuan, namun dalam masa yang sama berhak melindungi diri mereka daripada terus dihancurkan oleh insan yang sepatutnya menjadi pelindung utama mereka.

Siapa di sini yang pernah atau sedang lalui fasa toxic pemikiran macam ni dalam hidup dengan ibu bapa sendiri? Boleh kongsikan pengalaman anda di ruangan komen.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.