Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Bila Teguran Disalah Erti, Konten Makin Berani Cabar Agama

Bila nasihat dianggap dengki, dosa pula dipertahankan dan diulang dengan lebih berani. Sampai bila teguran mahu dipandang sebagai musuh?
Asian woman setting up a smartphone on a tripod for vlogging indoors.

Dalam era media sosial hari ini, semakin ramai yang gemar berkongsi pelbagai bentuk kandungan demi meraih perhatian, tontonan dan pujian. Namun apa yang lebih membimbangkan ialah sikap segelintir pihak yang seolah-olah tidak lagi boleh menerima teguran, walaupun teguran itu datang dengan niat yang baik.

Apabila ditegur tentang kandungan yang tidak sesuai, melampaui batas atau jelas bertentangan dengan ajaran agama, pantas sahaja label “pendengki”, “busybody” atau “terlalu suci” dilemparkan kepada pihak yang menegur. Seolah-olah setiap teguran lahir daripada kebencian, sedangkan hakikatnya ramai yang bersuara kerana masih ada rasa tanggungjawab dan kasih sesama Islam.

Lebih menyedihkan, apabila golongan agamawan atau mereka yang mempunyai ilmu turut menjadi sasaran. Nasihat yang diberikan tidak dinilai berdasarkan isi dan kebenarannya, sebaliknya dipersoalkan dengan alasan, “Banyak lagi benda lain yang patut ditegur”, atau “Kenapa benda ini pula yang jadi fokus?”. Sedangkan kewujudan perkara lain yang salah tidak pernah menjadikan sesuatu kesalahan itu halal atau boleh dipandang ringan.

Lebih malang lagi, ada yang bukan sahaja enggan menerima teguran, malah semakin galak melakukan perkara yang ditegur. Kandungan yang pada awalnya sekadar menimbulkan persoalan, akhirnya menjadi semakin keterlaluan, semakin ‘daring’ dan semakin memalukan, seolah-olah tiada lagi rasa takut untuk melampaui batas sehingga dilihat seperti mencabar perintah Allah SWT. Lebih membimbangkan apabila mereka berasa kebal kerana mempunyai ribuan penyokong yang sentiasa mempertahankan setiap tindakan.

Hakikatnya, sokongan manusia tidak mampu mengubah yang haram menjadi halal dan tepukan ramai tidak akan menghapuskan dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Populariti bukan ukuran kebenaran. Jumlah pengikut juga bukan penentu reda Allah.

Apa yang paling menyedihkan ialah apabila sikap ini sampai ke tahap seolah-olah mencabar peringatan Tuhan. Apabila dosa dilakukan secara terbuka, kemudian ditegur tetapi dibalas dengan ejekan, sindiran atau tindakan yang lebih melampau, ia bukan lagi soal enggan menerima nasihat semata-mata. Ia adalah petanda hati yang semakin keras.

Teguran yang baik tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman. Ia adalah peluang untuk muhasabah diri sebelum terlambat. Kerana pada akhirnya, yang akan ditanya bukan berapa ramai yang menyokong kita tetapi bagaimana kita menjawab setiap perbuatan yang pernah kita lakukan di hadapan Allah SWT.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.