Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Burnout, Realiti Pahit Generasi Sandwich Di Malaysia

Bayangkan selepas seharian di pejabat, mereka pulang bukan untuk berehat, tetapi untuk menukar peranan.

Ada satu golongan di Malaysia yang bangun pagi bukan untuk diri sendiri. Mereka bangun untuk hantar anak ke sekolah, pastikan ibu bapa makan ubat, kemudian pergi kerja dengan duit dalam akaun yang sudah pun dibahagi-bahagi sama rata sebelum bulan baru bermula. Golongan ini kita gelar , generasi sandwich. Dan ramai di antara kita, atau orang yang kita sayang, adalah sebahagian daripadanya.

Generasi sandwich merujuk kepada individu yang menjaga ibu bapa yang semakin tua sambil pada masa yang sama menyara anak-anak yang masih bergantung kepada mereka. Trend ini semakin ketara di Malaysia berikutan populasi yang semakin menua, jangka hayat yang meningkat, dan persepsi dan budaya yang kuat mengatakan bahawa anak-anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.

Tekanannya bukan sekadar kewangan, walaupun itu pun sudah cukup berat. Kajian oleh Persatuan Psikologi Malaysia mendapati bahawa lebih 60 peratus daripada golongan generasi sandwich melaporkan perasaan tertekan dan cemas, terutamanya dalam menguruskan masa antara kerja dan penjagaan keluarga, yang seterusnya memberi kesan kepada produktiviti kerja mereka.

Bayangkan selepas seharian di pejabat, mereka pulang bukan untuk berehat, tetapi untuk menukar peranan. Menjadi anak yang sabar mendengar aduan ibu bapa yang uzur. Menjadi ibu atau bapa yang perlu hadir sepenuhnya untuk anak-anak. Dan pelan-pelan mereka sendiri hilang di tengah-tengah semua peranan itu.

Salah satu cabaran terbesar generasi sandwich adalah kecenderungan untuk ingin memenuhi semua keperluan dengan sempurna, yang akhirnya membawa kepada burnout. Mereka tidak mahu mengecewakan sesiapa, bukan ibu bapa, bukan anak-anak, bukan majikan. Tapi dalam usaha menjaga semua orang, diri sendiri sering kali jadi yang terakhir dalam senarai keutamaan.

Masyarakat kita pula tidak selalu memahami beban ini. Ada yang melihat golongan ini sebagai “beruntung” kerana masih ada keluarga lengkap. Ada yang mengkritik jika mereka sesekali mengeluh. Padahal yang diperlukan bukan simpati , yang diperlukan adalah sistem sokongan yang lebih baik, sama ada dari kerajaan, majikan, mahupun komuniti sekeliling.

Tanggungjawab berganda dalam menyara ibu bapa dan anak-anak memberi tekanan kewangan dan emosi yang amat besar kepada golongan bekerja ini. Dan dengan kos sara hidup yang terus meningkat, ramai yang terpaksa memilih antara simpanan masa depan mereka sendiri atau keperluan semasa keluarga dan akhirnya mereka memilih untuk keluarga.

Jika kamu tergolong dalam generasi ini, ketahuilah penat yang kamu rasa itu valid, dan ia bukan tanda anda seorang yang lemah. Ia adalah tanda bahawa anda sudah mencuba sehabis baik untuk terlalu ramai orang. Sesekali, benarkan diri sendiri untuk bernafas. Buat sesuatu yang boleh berikan diri anda rasa rehat dan tenang, dan sesekali reward diri anda dengan sesuatu untuk hilangkan burnout. Kalau perlu luahkan tekanan anda, TheGeng boleh kongsikan di sini dan kami akan rahsiakan identiti anda, mungkin anda boleh dapat support daripada ramai orang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.