Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Isteri Jauh Lebih Tua Dari Suami, Boleh Bahagia Ke?

Pasangan di mana isteri sekurang-kurangnya 10 tahun lebih tua sebenarnya menunjukkan tahap kepuasan dan komitmen hubungan yang lebih tinggi.

Lelaki kahwin dengan wanita yang jauuhhhh lebih muda tu tak pelik, tapi sekarang semakin ramai wanita memilih pasangan hidup yang jauh lebih muda daripada mereka, bukan setahun dua, tapi sampai belasan tahun bezanya. Dan yang menariknya, ramai antara mereka hidup bahagia, walaupun sebelumnya mendapat pelbagai tohmahan. Kalau anda salah seorang yang ada suami jauh lebih muda, artikel ni untuk anda.

Dunia hiburan pun dah banyak “buka mata” tentang isu ni. Priyanka Chopra lebih tua sekitar 10 tahun daripada Nick Jonas, dan perkahwinan mereka jadi bualan hangat sebab beza usia yang ketara. Di Indonesia, Luna Maya dan Maxime Bouttier turut mempunyai jarak usia sekitar 10 tahun dengan Maxime yang lebih muda, dan ramai netizen terkejut pada mulanya. Ada juga pasangan seperti Bunga Zainal dan Sukhdev Singh dengan jurang usia sekitar 18 tahun permulaan penuh kritikan, tapi akhirnya membuktikan rumah tangga mereka harmoni. Corak yang sama selalu berulang, orang akan skeptikal dulu, tapi pasangan itu sendiri yang buktikan hubungan mereka stabil.

Dari sudut sains pula, ada dapatan yang menarik. Seorang penyelidik psikologi seksualiti dari Kinsey Institute, Universiti Indiana (Justin J. Lehmiller), menulis bahawa masyarakat secara umumnya kurang selesa dengan pasangan di mana isteri lebih tua berbanding suami. Tapi kajian beliau menunjukkan sebaliknya, pasangan di mana isteri sekurang-kurangnya 10 tahun lebih tua sebenarnya menunjukkan tahap kepuasan dan komitmen hubungan yang lebih tinggi berbanding pasangan dengan usia rapat. Sebabnya dikaitkan dengan dinamik kuasa yang lebih seimbang antara suami isteri, serta kematangan emosi isteri yang lebih berusia. Data populasi Amerika Syarikat pun menunjukkan trend ini semakin meningkat daripada 6% (1880-1950) kepada 10% pada 2022 untuk perkahwinan dengan isteri lebih tua sekurang-kurangnya 3 tahun. Jadi ia bukan lagi fenomena pelik, tapi trend yang semakin diterima.

Dari sudut Islam, konsep ini pun bukan sesuatu yang baru. Saidatina Khadijah lebih tua berbanding Rasulullah SAW ketika mereka berkahwin, dengan jurang usia yang turut disebut mencecah belasan tahun mengikut sebahagian riwayat. Perkahwinan itu digambarkan sebagai salah satu yang paling harmoni dan penuh kasih sayang dalam sejarah Islam. Ini menunjukkan Islam tidak pernah meletakkan syarat umur sebagai penentu kebahagiaan sesebuah perkahwinan, yang lebih dipentingkan ialah niat baik, tanggungjawab, dan keadilan antara pasangan.

Jadi kalau anda ada suami jauh lebih muda, anda bukan seorang diri dan bukan “pelik”. Pedulikan apa kata orang, “kahwin tak lama tu” , “nanti suami cari lain” semua ni toksik semata-mata. Yang lebih penting bukan berapa tahun beza umur, tapi adakah komunikasi sihat, saling menghormati, dan matlamat hidup sejajar. Kalau ya, beza umur setahun atau lima belas tahun hanyalah nombor. Betul tak?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.