Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Masih Belum Berhenti Merokok Atau Vape? Anda Berisiko Kanser

Seorang pakar onkologi turut menegaskan bahawa vape, sebagai produk yang mengandungi bahan beracun, dinilai boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.

Ramai orang fikir bila tukar daripada rokok konvensional kepada vape, mereka dah “lebih selamat”. Tapi apa yang sains tunjukkan sekarang agak berbeza daripada tanggapan popular ni. Kedua-duanya rokok dan vape dikaitkan dengan risiko kanser, cuma melalui mekanisme dan tahap bukti yang sedikit berbeza.

Asap rokok bukan sekadar nikotin. Ia membawa lebih 7,000 bahan kimia, dan lebih 70 daripadanya telah disahkan sebagai karsinogen bahan yang boleh menyebabkan sel dalam badan bertukar jadi sel kanser. Antara yang paling dikenali termasuklah tar, formaldehid, benzena, dan nitrosamin khusus tembakau. Bila bahan-bahan ni masuk ke dalam paru-paru secara berulang, ia merosakkan DNA sel-sel di lapisan saluran pernafasan. Badan sebenarnya ada mekanisme untuk membaiki kerosakan DNA, tapi bila pendedahan berlaku setiap hari, bertahun-tahun lamanya, mekanisme pembaikan ni jadi terlalu letih untuk mengejar kerosakan yang berlaku. Lama-kelamaan, sel yang rosak ni boleh membelah secara tidak terkawal dan itulah asas kepada kanser. Kanser paru-paru adalah yang paling kuat dikaitkan dengan tabiat merokok, tapi bukan satu-satunya. Merokok turut dikaitkan dengan kanser mulut, tekak, esofagus, pankreas, pundi kencing, dan beberapa lagi organ sebab bahan kimia dalam asap rokok bukan sahaja meresap ke paru-paru, tapi turut diserap ke dalam aliran darah dan sampai ke organ lain.

Sejak lebih sedekad lalu, vape dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat kepada rokok, malah ada yang mendakwa ia tak membawa risiko kanser langsung. Tapi kajian terbaru daripada penyelidik di Australia yang menilai literatur perubatan, laporan kes, kajian haiwan dan data biomarker mendapati vape hampir pasti bersifat karsinogeni. Antara bukti yang ditemui termasuklah kerosakan DNA sel akibat bahan kimia, perisa, dan logam dalam vape, manakala tisu mulut dan pernafasan pula menunjukkan keradangan dan kerosakan yang berpotensi meningkatkan risiko kanser. Salah satu punca utama masalah ni ialah bahan asas dalam cecair vape sendiri propylene glycol dan gliserin. Apabila propylene glycol dipanaskan, ia menghasilkan bahan yang membebaskan formaldehid sejenis bahan yang boleh menyebabkan kanser, dan jumlah formaldehid yang terhasil bergantung kepada tahap kepanasan yang digunakan ketika mengewap cecair tersebut. Ini bermakna, walaupun vape tak membakar tembakau macam rokok tradisional, proses memanaskan cecair vape pada suhu tinggi sendiri boleh menghasilkan bahan karsinogenik.

Seorang pakar onkologi turut menegaskan bahawa vape, sebagai produk yang mengandungi bahan beracun, dinilai boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru sama seperti rokok tradisional. Yang membimbangkan, ramai pengguna vape adalah golongan muda yang mula menggunakannya seawal usia belasan tahun, bermakna pendedahan kepada bahan-bahan ini berlaku dalam tempoh yang jauh lebih panjang sepanjang hayat mereka. Perlu ditegaskan penyelidik sendiri mengakui risiko sebenar vape terhadap kanser masih belum dapat dipastikan sepenuhnya, kerana kajian jangka panjang seperti yang telah dilakukan ke atas rokok tembakau (selama berpuluh tahun) masih belum wujud untuk vape. Tapi ketiadaan bukti muktamad bukan bermakna ia selamat sebaliknya ia bermakna risiko sebenar mungkin lebih besar daripada yang disedari sekarang, dan hanya akan jelas selepas bertahun-tahun kemudian.

Salah faham tentang vape “lebih selamat” ni datang daripada perbandingan yang tak tepat. Memang benar wap aerosol vape tidak mengandungi semua bahan cemar yang terdapat dalam asap tembakau terbakar tapi itu tak bermakna ia bebas risiko. Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) sendiri telah menegaskan yang vape tidak boleh dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok biasa, dan sejak Disember 2023, WHO telah menggesa larangan vape berperisa secara global sebahagian besarnya kerana perisa manis ni menjadi daya tarikan utama kepada golongan remaja. Jadi berhentilah kedua-duanya, tiada yang lebih selamat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.