Dengar playlist penuh di sini
.
Ada segelintir pemilik yang gemar melepaskan kucing mereka berkeliaran di kawasan perumahan tanpa pengawasan. Akibatnya, halaman rumah jiran menjadi “tandas awam” kucing. Ada yang terpaksa mencuci najis di kaki lima, mencuci air kencing di porch, membersihkan pasu bunga yang dikorek, malah menanggung bau busuk yang mengganggu setiap hari.
Lebih mengecewakan, apabila kucing tersebut hilang atau tidak pulang ke rumah, pemiliknya pantas bertanya di kumpulan WhatsApp taman. “Ada nampak kucing saya tak?” atau “Kucing saya tak balik sejak pagi.” Semua jiran diminta membantu mencari. Tetapi apabila jiran bertanya pula, “Kucing siapa yang berak depan rumah saya setiap hari?” Suasana terus sunyi. Tiada siapa mengaku.
Inilah yang sering menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk. Jika kucing dianggap seperti anak sendiri, sudah tentu keselamatan dan tingkah lakunya juga menjadi tanggungjawab pemilik. Membiarkan haiwan peliharaan bebas keluar tanpa kawalan bukan sahaja menyusahkan jiran, malah membahayakan kucing itu sendiri. Risiko dilanggar kenderaan, bergaduh dengan haiwan lain, dijangkiti penyakit atau hilang sentiasa ada.
Sebagai pemilik, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan. Sediakan kotak pasir yang bersih di rumah, biasakan kucing menggunakannya, dan jika mahu membawa kucing keluar, gunakan tali khas atau pastikan kawasan berpagar dan selamat. Jika kucing sering keluar, pastikan ia sudah dimandulkan kerana ini juga membantu mengurangkan tabiat merayau jauh.
Dalam masa yang sama, jiran juga digalakkan menyelesaikan isu secara berhemah. Elakkan memarahi atau mencederakan haiwan kerana kucing tidak memahami sempadan rumah seperti manusia. Apa yang perlu ditegur ialah sikap pemilik yang gagal menjalankan tanggungjawab.
Masyarakat kita semakin ramai pencinta haiwan, dan itu sesuatu yang positif. Namun, menjadi pencinta kucing bukan sekadar rajin memuat naik gambar si bulus di media sosial atau risau apabila ia hilang. Menjadi pencinta kucing juga bermaksud menjaga kebajikannya, memastikan ia tidak mengganggu orang lain, serta menghormati hak jiran untuk menikmati rumah yang bersih dan selesa.
Mudah sahaja prinsipnya, jika mahu memelihara kucing, peliharalah dengan penuh tanggungjawab. Kasihkan kucing, tetapi jangan sampai kasih itu menjadi beban kepada jiran. Sedikit common sense dan rasa hormat terhadap komuniti mampu mengelakkan banyak konflik yang sebenarnya tidak perlu.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.