Dengar playlist penuh di sini
.
Antara keluhan para isteri, “suami saya tak romantik, kalau dia “nak” terus terjah je”. Ini sebenarnya salah satu punca paling biasa isteri rasa jauh secara emosi daripada suami, walaupun dari segi fizikal mereka masih tinggal sebumbung dan “berfungsi” macam pasangan biasa.
Untuk faham isu ni, kita perlu faham dulu, lelaki dan perempuan selalunya berbeza dari segi bagaimana keinginan seksual mereka dicetuskan. Bagi kebanyakan lelaki, keinginan boleh datang dengan cepat dan agak “fizikal” sifatnya. Tapi bagi kebanyakan wanita, keinginan lebih banyak bergantung kepada keadaan emosi, rasa selamat, dan rasa berdebar-debar macam bercinta dengan pasangan terlebih dahulu sebelum badan mereka betul-betul “bersedia”. Bila suami terus nak lakukan hubungan intim tanpa ada usaha untuk membina mood, romantik, atau sekadar perbualan mesra sebelum itu, isteri boleh rasa seperti dia cuma “alat” untuk memenuhi keperluan suami, bukan pasangan yang dihargai.
Tapi kena ingat, tak boleh salahkan lelaki sepenuhnya, sebab kadang-kadang ia berlaku sebab suami sendiri tak pernah diajar atau didedahkan tentang kepentingan foreplay emosi ini. Ramai lelaki membesar dengan tanggapan yang romantik cuma perlu masa “bercinta” sebelum kahwin, dan lepas dah sah bergelar suami isteri, semua tu tak perlu lagi sebab “kita dah sah”. Padahal keperluan untuk rasa disayangi dan diberi perhatian tu tak pernah pupus walaupun sudah lama berkahwin, malah ia perlu dijaga dengan lebih kerap supaya hubungan tak jadi hambar.
Kesan jangka panjang bila isu ni tak ditangani, isteri boleh mula rasa jauh secara emosi, malah ada yang mula elak hubungan intim sepenuhnya sebab rasa ia cuma jadi “rutin” tanpa makna, bukan lagi detik untuk mereka rasa rapat dengan suami. Ini yang selalunya membawa kepada masalah lebih besar dalam perkahwinan, sebab keintiman fizikal sepatutnya menjadi cara untuk perkukuh ikatan, bukan sumber tekanan atau kekecewaan, malah ada yang sampai rasa terpaksa untuk melakukannya.
Kalau anda seorang isteri yang alami situasi ni, penting untuk anda luahkan perasaan dengan cara yang jelas tapi tidak menyalahkan. Cuba elakkan ayat seperti “awak memang tak pernah romantik”, sebaliknya cuba pendekatan seperti, “sayang, saya rasa lebih connect dan bersedia bila kita luangkan sedikit masa berdua dulu sebelum kita jadi lebih intim, boleh kita cuba buat ni sama-sama?” Ayat macam ni memberi ruang untuk suami faham keperluan anda tanpa rasa dituduh atau diserang.
Untuk suami pula, penting untuk faham, romantik bukan perlu sesuatu yang besar atau mahal. Perkara kecil macam pujian ikhlas, pelukan tanpa tujuan lain selain nak rapat, bantu kerja rumah tanpa diminta, atau sekadar tanya khabar hari isteri dengan penuh perhatian, semua ni sebenarnya bentuk foreplay emosi yang boleh buat isteri rasa lebih bersedia dan terbuka untuk keintiman fizikal kemudian. Usaha kecil sebegini selalunya lebih bermakna berbanding hadiah mahal yang datang tanpa ketulusan.
Kalau perbualan terbuka masih tak membawa perubahan, tak salah untuk pertimbangkan jumpa kaunselor perkahwinan bersama-sama. Kadang isu keintiman ni bukan sekadar soal “kurang romantik”, tapi cerminan kepada jarak emosi yang lebih dalam yang perlu diteroka bersama dengan bantuan pihak ketiga yang neutral.
Yang penting untuk diingat, keintiman yang sihat dalam sesebuah perkahwinan bukan sekadar tentang keperluan fizikal semata-mata, tapi tentang bagaimana kedua-dua pasangan rasa dihargai, didengari, dan disayangi sepanjang masa, bukan hanya pada saat-saat tertentu sahaja. Bila kedua-dua pihak faham dan hormati keperluan emosi masing-masing, keintiman fizikal pun akan jadi lebih bermakna buat kedua-duanya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.