Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tak? Baru habis makan tengah hari. Pinggan belum sempat dialihkan, mata dah mula berat.
Lima minit kemudian, kita mula buat kerja dengan penuh dedikasi…
menahan mata daripada tertutup.
Bos lalu.
Terus duduk tegak.
Bos hilang.
Mata turun balik.
Dan seperti biasa, nasi yang menjadi mangsa.
“Sebab makan nasi banyak sangatlah tu.”
Betul ke?
Sebenarnya, tidak semudah itu.
Rasa mengantuk selepas makan memang sesuatu yang biasa berlaku. Dalam istilah mudah, ia sering dipanggil postprandial somnolence iaitu rasa mengantuk atau penurunan tahap berjaga-jaga selepas makan.
Dan nasi bukan satu-satunya suspek.
Selepas kita makan, badan mula memberi tumpuan kepada proses pencernaan. Pada masa yang sama, perubahan hormon dan bahan kimia dalam badan turut mempengaruhi tahap kewaspadaan.
Kita juga memang mempunyai “dip” semula jadi dalam tahap berjaga-jaga pada waktu awal petang, yang biasanya berlaku beberapa jam selepas kita bangun.
Sebab itu kombinasi makan tengah hari + waktu petang boleh menjadi sangat mencabar.
Badan kata;
“Jom hadam makanan.”
Otak pula kata;
“Tapi kerja belum siap.”
Mata kata;
“Aku tak masuk campur.”
Jenis makanan pula memang boleh memainkan peranan.
Hidangan yang sangat besar, tinggi karbohidrat atau tinggi lemak boleh membuatkan kita rasa lebih berat dan mengantuk selepas makan.
Jadi kalau makan nasi sepinggan penuh dengan lauk berlemak, kemudian tambah air manis dan pencuci mulut…
Jangan salahkan nasi seorang.
Dia ada geng.
Selain makanan, tidur yang tidak cukup juga boleh menyebabkan rasa mengantuk selepas makan menjadi lebih ketara.
Kalau malam tadi tidur pukul 1 pagi sebab “nak tengok satu episod saja” tetapi akhirnya habis satu musim, jangan terkejut kalau pukul 2 petang esoknya badan mula menuntut bayaran.
Sebab itu, kalau kerap mengantuk selepas makan, kita boleh cuba beberapa perkara mudah.
Ambil portion yang lebih sederhana.
Pastikan hidangan ada protein, sayur dan sumber karbohidrat yang seimbang.
Kurangkan hidangan yang terlalu berat dan tinggi gula.
Dan kalau boleh, berjalan sekejap selepas makan berbanding terus duduk di kerusi sambil membuka telefon.
Namun ada satu perkara yang kita jangan abaikan.
Kalau rasa mengantuk itu terlalu kuat, berlaku hampir setiap hari atau disertai simptom lain, jangan terus salahkan nasi.
Masalah tidur, ubat tertentu, gangguan tidur seperti sleep apnea, atau keadaan kesihatan tertentu juga boleh menyebabkan seseorang sentiasa mengantuk pada waktu siang.
Jadi, adakah nasi menyebabkan kita mengantuk?
Kadang-kadang ia boleh menyumbang. Tetapi nasi bukan penjahat utama.
Kadang-kadang yang sebenarnya berlaku ialah kita makan terlalu banyak, tidur terlalu sedikit dan kemudian mengharapkan badan terus bekerja seperti mesin.
Badan pun ada had.
Jadi kalau selepas makan tengah hari anda mula menguap…
Jangan terus pandang nasi dengan penuh kebencian.
Mungkin badan cuma sedang berkata:
“Aku nak hadam dulu. Kerja boleh tunggu lima minit.”
Masalahnya…
Bos mungkin tak setuju…kihkihh
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.