Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Tak Pernah Ajar, Tapi Anak Tiba-Tiba Ada Bakat Ibu Ayah

Bayangkan seorang anak mempunyai pendengaran muzik yang sangat baik tetapi tidak pernah menyentuh alat muzik. Potensi tanpa pendedahan, tiada gunanya.
Back view of crop anonymous ethnic kids in casual clothes playing piano together in bright room

Pernah tak ibu atau ayah melihat anak melakukan sesuatu dan terus terdetik,

“Eh… macam aku pula?”

Ayah mungkin dari kecil memang pandai bermain bola. Tetapi anak tak pernah masuk akademi bola, tak pernah diajar teknik pun. Tba-tiba cara dia menendang dan mengawal bola nampak semula jadi.

Ibu pula mungkin mempunyai telinga muzik yang baik. Tak pernah ajar anak menyanyi tetapi anak kecil itu boleh mengikut nada dengan mudah.

Terus kita tertanya-tanya:

Bakat ni boleh turun daripada ibu bapa kepada anak ke?

Jawapannya: ada kemungkinan tetapi bukan dalam bentuk yang kita selalu bayangkan.

Anak tidak mewarisi kemahiran seperti “gen pandai main piano” atau “gen pandai bermain bola”. Sebaliknya, faktor genetik boleh mempengaruhi ciri dan kecenderungan tertentu yang menjadi asas kepada sesuatu kebolehan.

Contohnya, dalam bidang sukan, faktor seperti komposisi serat otot, ketinggian, koordinasi dan kapasiti aerobik semuanya boleh mempengaruhi prestasi. Tetapi genetik bukan satu-satunya faktor … kerana latihan, sokongan keluarga, peluang dan persekitaran juga memainkan peranan besar.

Dalam kajian berkaitan aptitude dan bakat pula, penyelidik mendapati faktor genetik menyumbang kepada perbezaan kebolehan dalam pelbagai bidang termasuk muzik, seni, bahasa, matematik dan sukan. Tetapi ini tidak bermaksud seorang anak yang mempunyai ibu berbakat muzik secara automatik akan menjadi pemuzik hebat.

Sebab itu ada anak yang nampak “natural” apabila pertama kali mencuba sesuatu.

Mungkin dia mempunyai kecenderungan tertentu yang memudahkannya belajar.

Tetapi selepas itu, latihan tetap diperlukan.

Bayangkan seorang anak mempunyai pendengaran muzik yang sangat baik tetapi tidak pernah menyentuh alat muzik. Potensi mungkin ada tetapi tanpa pendedahan, kita mungkin tidak pernah tahu pun.

Sebaliknya, seorang lagi anak mungkin pada awalnya tidak nampak berbakat tetapi berlatih bertahun-tahun sehingga menjadi jauh lebih mahir.

Jadi, apabila anak menunjukkan kebolehan yang nampak seperti diwarisi daripada ibu atau ayah, jangan terus fikir,

“Memang dah ada bakat, tak payah latihan.”

Mungkin genetik memberikannya sedikit kelebihan.

Tetapi latihanlah yang membantu potensi itu menjadi kemahiran.

Menariknya, persamaan antara ibu bapa dan anak juga tidak semestinya datang daripada genetik sahaja.

Anak yang membesar dalam keluarga yang suka muzik mungkin lebih banyak mendengar muzik. Anak kepada ibu bapa yang aktif bersukan mungkin lebih biasa dengan aktiviti fizikal. Maka, apa yang nampak seperti “bakat turun-temurun” kadangkala merupakan gabungan genetik dan persekitaran.

Sebab itu jangan terlalu cepat melabel anak sebagai “tak berbakat”.

Kadangkala kita cuma belum menemukan bidang yang sesuai dengan kecenderungan semula jadinya.

Dan jangan pula terlalu cepat menganggap anak pasti akan sehebat ibu atau ayah hanya kerana mempunyai darah yang sama.

Gen mungkin memberikan titik permulaan. Tetapi pendedahan, latihan, minat dan peluang menentukan sejauh mana potensi itu boleh pergi.

Jadi kalau suatu hari anak tiba-tiba buat sesuatu yang membuat kita ternganga,

“Eh, macam mana dia boleh pandai benda ni? Kita tak pernah ajar pun!”

Mungkin itu bukan sekadar kebetulan.

Mungkin ada sesuatu yang memang sudah ada dalam dirinya.

Tugas kita bukan memastikan dia menjadi salinan ibu atau ayah.

Tugas kita ialah memberi dia peluang untuk mengetahui sendiri sejauh mana dia boleh pergi.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.