Dengar playlist penuh di sini
.
Dalam Islam, tanggungjawab kewangan dalam rumah tangga sebenarnya dah jelas sejak dulu lagi. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, itu bukan pilihan, itu kewajipan yang Allah letakkan atas bahu lelaki apabila dia bergelar suami. Nafkah ni merangkumi makan minum, tempat tinggal, pakaian, dan keperluan asas isteri, walaupun isteri tu seorang yang kaya, ada harta sendiri, atau berpendapatan tinggi. Islam tak pernah kata isteri wajib bahagi kos dalam rumah tangga, walaupun isteri boleh je bantu secara sukarela kalau dia nak, itu ihsan dari dia, bukan kewajipan yang dituntut ke atas dia.
Sebab tu dalam banyak hadith dan pandangan ulama, mas kahwin, nafkah, tempat tinggal, semua ni jadi bukti bahawa lelaki yang memikul beban ekonomi rumah tangga, bukan berkongsi 50-50 macam konsep yang selalu kita dengar sekarang. Malah sebahagian ulama sebut, walaupun isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi dari suami, kewajipan nafkah tetap terletak pada suami, pendapatan isteri adalah haknya sendiri sepenuhnya, dia tak wajib letak sesen pun ke dalam perbelanjaan rumah kalau dia tak nak.
Tapi kalau kita tengok realiti sekarang, ramai yang dah mula ambil pendekatan 50-50 dalam perkahwinan, kos sara hidup dikongsi bersama, bil-bil rumah dibahagi ikut peratus gaji, ada juga yang buat akaun bersama untuk perbelanjaan rumah tangga. Malah ada fenomena yang agak menarik perhatian ramai, sebahagian lelaki sekarang terus tanya awal-awal sebelum kahwin, you nak provide apa kalau kita kahwin nanti, macam nak pastikan beban tu dikongsi sama rata sejak dari awal lagi.
Ada beberapa sebab kenapa ramai pasangan zaman sekarang lebih selesa dengan konsep kongsi bersama berbanding suami tanggung seratus peratus macam yang dituntut dalam Islam. Kos sara hidup sekarang jauh lebih tinggi berbanding dulu, harga rumah, sewa, makanan, semua naik mendadak, ramai lelaki rasa gaji seorang je tak cukup nak bawa rumah tangga dengan selesa. Wanita sekarang pun ramai yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya, jadi ada rasa tak adil kalau seorang je yang kerja keras cari duit sementara seorang lagi hanya duduk rumah walaupun mampu bekerja. Ada juga faktor budaya moden yang lebih mementingkan kesaksamaan dalam hubungan, konsep partnership lebih ditekankan berbanding peranan tradisional suami penyara dan isteri suri rumah.
Cuma di sini timbul satu percanggahan yang agak jelas antara ajaran agama dengan amalan sosial sekarang. Kalau seorang lelaki dah letak syarat awal-awal, isteri kena provide juga kalau mereka kahwin, secara tak langsung dia sedang mengubah struktur tanggungjawab yang Islam dah tetapkan, dari kewajipan sepenuhnya suami kepada tanggungjawab berkongsi. Ini bukan salah sepenuhnya, sebab dalam realiti hidup, ramai pasangan memang perlukan pendapatan berganda untuk survive, tapi dari sudut fiqh, kalau seorang wanita bersetuju nak berkongsi kos rumah tangga, itu perlu jadi persetujuan sukarela dari dia, bukan syarat wajib yang dituntut sebelum perkahwinan berlaku, kerana hak nafkah tu memang hak isteri, bukan sesuatu yang boleh dinegotiasikan semula sebagai syarat perkahwinan.
Yang penting di sini, kefahaman yang jelas antara pasangan sebelum berkahwin. Kalau dua dua nak amalkan konsep kongsi 50-50 sebab situasi kewangan semasa memerlukan begitu, itu keputusan bersama yang sah, selagi ia berlandaskan kerelaan, bukan paksaan atau syarat satu pihak. Tapi kalau lelaki cuba jadikan sumbangan kewangan isteri sebagai syarat wajib sebelum kahwin, seolah-olah nak lepas tangan dari tanggungjawab asal yang Allah letakkan atas dirinya sebagai suami, di situ perlu ada muhasabah semula, adakah dia benar-benar bersedia memikul amanah sebagai ketua keluarga, atau dia sekadar mencari rakan kongsi kewangan dengan nama perkahwinan.
Yang penting, sebarang perbincangan pasal kewangan rumah tangga perlu jujur, terbuka, dan berlandaskan kefahaman bersama. Anda team yang mana? Suami provide semua atau 50-50?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.