Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Disangka Baran, Rupanya Ada Masalah Kesihatan Mental

Bila ia jadi terlalu kerap, terlalu kuat, atau muncul tanpa sebab yang munasabah, ini boleh jadi petunjuk kepada beberapa keadaan kesihatan mental.

Ramai orang di sekeliling kita yang dilabel pemarah atau baran, sampai jadi bahan sindiran, gelaran, malah kadang dijauhi kerana perangai tu dianggap sekadar sifat semula jadi yang memang susah nak diubah. Tapi ramai tak sedar, kemarahan yang kerap, melampau, atau tak seimbang dengan situasi sebenar, kadangkala bukan sekadar perangai, tapi boleh jadi tanda kepada sesuatu yang lebih dalam berlaku pada kesihatan mental seseorang.

Kemarahan sebenarnya emosi biasa yang setiap manusia rasa, tapi bila ia jadi terlalu kerap, terlalu kuat, atau muncul tanpa sebab yang munasabah, ini boleh jadi petunjuk kepada beberapa keadaan kesihatan mental yang mungkin tak disedari oleh orang yang mengalaminya sendiri. Antaranya termasuklah kemurungan, yang selalunya digambarkan sebagai sedih dan murung, tapi pada sesetengah orang, terutama lelaki, kemurungan boleh muncul dalam bentuk mudah melenting, cepat naik angin, dan sensitif terhadap perkara kecil, berbanding kesedihan yang jelas kelihatan. Keadaan seperti gangguan bipolar juga boleh menyebabkan seseorang mengalami perubahan mood yang drastik, termasuk fasa di mana mereka jadi sangat mudah marah dan tak sabar tanpa punca yang jelas.

Kebimbangan atau anxiety yang tak dirawat pun boleh menyumbang kepada perangai baran. Bila seseorang sentiasa rasa tertekan, resah, atau bimbang dalam dirinya, tahap toleransi terhadap perkara kecil jadi rendah, sedikit sahaja tekanan luar boleh mencetuskan letusan kemarahan yang nampak melampau berbanding punca sebenar. Selain itu, gangguan seperti ADHD yang tak disedari sejak kecil turut boleh menyebabkan seseorang lebih mudah kecewa, cepat hilang sabar, dan bertindak balas secara impulsif apabila berdepan situasi yang mencabar.

Trauma yang tak diselesaikan juga selalu jadi punca tersembunyi di sebalik perangai baran. Seseorang yang pernah melalui pengalaman menyakitkan, sama ada dari zaman kecil, hubungan lalu, atau kejadian traumatik lain, kadangkala membina mekanisme pertahanan diri dalam bentuk kemarahan, sebagai cara untuk melindungi diri daripada rasa terluka atau terancam, walaupun dia sendiri tak sedar itulah punca sebenar tingkah lakunya sekarang.

Kalau ada ahli keluarga yang menunjukkan tanda-tanda baran yang keterlaluan, kerap, atau tak selari dengan situasi sebenar, pendekatan paling penting adalah jangan terus label atau herdik dia. Cuba dekati dengan cara yang tenang, borak-borak dalam suasana santai, bukan waktu dia sedang marah atau tertekan. Tunjukkan yang kita ambil berat dan bimbang tentang keadaannya, bukan datang dengan nada menuduh atau menyalahkan.

Elakkan terus label perangai tu sebagai sesuatu yang teruk atau memalukan, sebaliknya cuba bawa perbualan ke arah bagaimana perasaannya sebenarnya, adakah dia rasa tertekan, letih, atau ada sesuatu yang membebankan fikirannya. Kadang orang yang baran sendiri sebenarnya penat dengan perangainya sendiri, tapi tak tahu macam mana nak minta tolong atau tak sedar itu sesuatu yang boleh dirawat.

Bila dah rasa lebih terbuka, cadangkan secara lembut supaya dia berjumpa pakar, sama ada pegawai perubatan, kaunselor, atau pakar psikiatri, bukan sebagai tanda dia gila atau ada masalah besar, tapi sebagai langkah menjaga kesihatan diri, sama macam pergi jumpa doktor bila demam atau sakit fizikal lain. Elakkan memaksa atau beri ultimatum, kerana ini boleh buat dia rasa makin defensif dan menolak bantuan yang cuba dihulurkan.

Sokongan keluarga amat penting dalam proses ni. Dengan sokongan yang ikhlas dan tanpa menghakimi daripada orang tersayang, ia boleh jadi pemangkin penting untuk seseorang berani mengambil langkah pertama mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Perangai baran yang keterlaluan bukan sesuatu yang perlu dipandang remeh atau sekadar dijadikan bahan gurauan. Untuk mereka yang sedang mengalaminya, beri kerjasama dan jangan malu untuk dapatkan rawatan.

TV gif. Matthew MacFadyen as Tom from Succession flips over a large desk, screaming, spilling its contents everywhere.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.