Dengar playlist penuh di sini
.

Ada satu keadaan yang mungkin pernah berlaku dalam keluarga.
Anak marah mak.
Bukan sekadar meninggikan suara tetapi sampai mak pula yang dituntut untuk meminta maaf.
“Mak yang salah. Mak kena minta maaf dengan aku.”
Bila dengar ayat macam ni, kita mungkin tertanya-tanya… sejak bila anak yang membentak ibu boleh sampai berada di posisi menuntut ibunya pula untuk meminta maaf?
Ya, ibu bapa juga boleh tersilap. Mereka bukan manusia sempurna. Ada masanya mereka mungkin terlepas cakap, salah faham atau membuat keputusan yang mengecewakan anak.
Tetapi ada bezanya antara menyatakan rasa terluka dengan cara yang baik dan menjadikan kemarahan sebagai alasan untuk menghina, meninggikan suara atau menjatuhkan maruah ibu sendiri.
Dalam Islam, berbuat baik kepada ibu bapa bukan perkara kecil. Allah SWT mengingatkan manusia supaya berbuat ihsan kepada ibu bapa dan melarang kita mengeluarkan perkataan yang menyakiti mereka, walaupun sekadar “ah”.
Sebab itu, jangan terlalu selesa dengan alasan, “Mak yang mulakan dulu.”
Kita boleh tidak bersetuju dengan mak.
Kita boleh terasa hati.
Kita boleh menjelaskan bahawa kita terluka.
Tetapi cara kita meluahkan semuanya tetap ada batasnya.
Lebih-lebih lagi apabila kita sudah dewasa. Sepatutnya semakin besar usia, semakin matang cara kita mengawal emosi.
Yang menyedihkan, ada anak yang apabila sudah berjaya, sudah berkeluarga atau sudah mempunyai kehidupan sendiri, mula merasakan dia tidak lagi perlu menjaga hati ibu bapanya.
Sedangkan dalam soal ibu bapa, agama tidak mengajar kita untuk hanya menghormati mereka apabila mereka betul mengikut kehendak kita.
Penderhakaan kepada ibu bapa pula bukan dosa kecil. Dalam hadis, ia termasuk antara dosa besar yang diberikan peringatan keras.
Sebab itu kita sering mendengar orang tua berkata, “Jangan sampai buat mak ayah menangis.”
Bukan kerana setiap kesusahan yang datang selepas itu semestinya merupakan “balasan cash” daripada Allah. Kita tidak boleh menghukum setiap musibah sebagai akibat dosa seseorang.
Tetapi kita juga tidak boleh mengambil ringan tentang doa, hati dan pengorbanan ibu bapa.
Hari ini mungkin kita rasa kita menang kerana berjaya membuat mak mengalah dan meminta maaf.
Tapi cuba fikir semula.
Apa sebenarnya yang kita menangi kalau orang yang membesarkan kita akhirnya menangis kerana kata-kata kita?
Kalau mak memang salah, tegurlah.
Kalau mak melukakan hati, beritahulah.
Tetapi jangan sampai kerana mahu mempertahankan ego, kita sanggup menjadikan ibu sendiri sebagai orang yang perlu tunduk kepada kita.
Satu hari nanti, mungkin kita pula akan menjadi ibu atau ayah.
Dan ketika itu, barulah kita faham bahawa ada kata-kata anak yang boleh dilupakan tetapi ada kata-kata yang sampai bila-bila tinggal dalam hati.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.