Dengar playlist penuh di sini
.
Ada satu jenis wanita yang bila dia ditinggalkan, dia tak melenting, tak mengutuk, tak sebar cerita nak jatuhkan orang yang buat dia terluka. Dia cuma diam, dia biar air matanya jatuh sorang-sorang setiap malam, dan bila semua orang dah lena, dia bangun, angkat tangan, dan doakan orang yang tinggalkan dia tu supaya bahagia dengan takdirnya.
Bukan senang nak buat macam ni. Sebab lumrah manusia bila disakiti, mesti timbul rasa nak salahkan, nak marah, nak tunjuk yang dia yang betul dan orang lain yang salah. Tapi wanita yang mencintai dengan ikhlas kerana Allah, cinta dia tak berhenti walaupun hubungan tu dah putus. Sebab cinta dia bukan sekadar untuk manusia, tapi juga sebahagian dari cara dia dekatkan diri kepada Pencipta.
Setiap malam, dalam sujud yang panjang, dia akan bisikkan doa yang sama, ya Allah aku maafkan dia, jangan susahkan hidup dia, berikan dia kebahagiaan. Doa ni bukan doa yang senang nak diucapkan bila hati sendiri masih berdarah. Tapi dia tetap ucapkan, sebab dia faham, memaafkan bukan untuk orang yang tinggalkan dia, tapi untuk bersihkan hati dia sendiri dari rasa dendam yang boleh rosakkan jiwa perlahan-lahan.
Berpisah kerana keadaan, bukan kerana pengkhianatan atau kesalahan besar, lebih sukar diterima. Sebab tiada siapa yang benar-benar salah, tapi kesan dia tetap sama sakitnya. Ditinggalkan, dibiarkan menangis sorang sorang malam demi malam, tanpa penjelasan yang benar benar memuaskan hati. Tapi walaupun begitu, dia pilih untuk tak simpan dendam. Dia serahkan semuanya kepada Allah, sebab dia tahu, hanya Allah yang mampu adili apa yang berlaku di antara dua hati.
“Aku maafkan dia ya Allah, di atas apa yang aku lalui, di atas setiap tangisanku, aku maafkan dia dengan ikhlas”. Ayat sebegini bukan tanda dia lemah, sebaliknya ia tanda kekuatan yang jarang orang boleh capai. Sebab memaafkan sambil hati masih luka, itu adalah salah satu bentuk kekuatan paling tinggi yang seorang manusia boleh ada.
Kalau anda pernah lalui situasi macam ni, ingat, memaafkan bukan bermakna anda lupa apa yang berlaku, dan bukan juga bermakna anda lemah. Ia cara anda lepaskan beban yang selama ni membebankan hati sendiri, dan serahkan semuanya kepada yang lebih layak menilai, iaitu Allah. Moga setiap air mata yang jatuh malam malam sunyi tu, jadi saksi doa yang diterima, dan jadi jalan untuk hati sendiri pulih dengan cara yang lebih tenang.
Anda wanita yang jenis mana satu, dendam atau memaafkan?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.