Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Ratu Pecut SUKMA, 9A SPM… Kisah Izzatul Bikin Bangga!

Ramai nampak kepantasannya di trek, tetapi tidak ramai tahu pengorbanan Ratu Pecut Sukma ini ketika membahagikan masa sebagai atlet dan pelajar.

Dia bukan sekadar pantas di trek. Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira juga membuktikan bahawa seorang atlet muda mampu mengejar kecemerlangan akademik pada masa yang sama.

Terbaharu, nama Izzatul kembali menjadi perhatian apabila atlet Terengganu itu dinobatkan sebagai Ratu Pecut SUKMA 2026 selepas menjuarai acara 100 meter wanita di SUKMA Selangor dengan catatan 11.73 saat.

Dua hari kemudian, dia sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila memenangi acara 200 meter wanita dengan catatan 24.42 saat, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai ratu pecut temasya.

Namun, di sebalik kelajuan dan pingat yang diraihnya, ada satu lagi pencapaian Izzatul yang membuatkan kisahnya jauh lebih istimewa.

Akademik.

Pada April lalu, atlet muda itu mencuri perhatian apabila memperoleh 9A dalam SPM 2025.

Bayangkan perjalanan seorang remaja yang perlu membahagikan masa antara latihan, kejohanan, sekolah dan ulang kaji.

Ketika rakan-rakan lain mungkin boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan, Izzatul tetap perlu menjaga kecergasan dan prestasinya sebagai atlet.

Namun dia tidak melihat sukan dan akademik sebagai dua perkara yang perlu dipilih salah satu.

Sebaliknya, dia membuktikan kedua-duanya boleh bergerak seiring.

Dan sebenarnya, kejayaan itu bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.

Pada usia 17 tahun ketika menyertai Kejohanan Olahraga MSSM 2025 di Perlis, Izzatul terlebih dahulu mencipta sensasi apabila memecahkan empat rekod kejohanan dalam acara 100m, 200m, 4×100m dan 4×400m perempuan bawah 18 tahun.

Lebih manis, dia turut membawa pulang empat pingat emas dan dinobatkan sebagai Olahragawati MSSM 2025.

Kemudian, apabila keputusan SPM diumumkan, sekali lagi dia membuat kita tersenyum bangga.

9A….masya-Allah

Izzatul sendiri mengakui perjalanan untuk mendapatkan keputusan tersebut bukan mudah kerana pada masa sama dia perlu mengimbangi tuntutan sebagai atlet.

Baginya, pencapaian itu membuktikan bahawa akademik dan sukan mampu bergerak seiring.

Dan hari ini, kisah itu semakin lengkap.

Daripada memecahkan rekod MSSM, mencatat keputusan akademik cemerlang, sehinggalah dinobatkan sebagai Ratu Pecut SUKMA 2026, Izzatul sedang membina namanya sedikit demi sedikit.

Yang paling membanggakan, usianya baru 18 tahun.

Dia masih terlalu muda untuk mengatakan kisahnya sudah sampai ke penghujung.

Sebaliknya, ini mungkin baru permulaan.

Kerana jika seorang remaja mampu berlari mengejar impian sambil tetap membawa buku di tangan, kita boleh bayangkan betapa jauhnya dia mampu pergi selepas ini.

Izzatul bukan sekadar membuat kita bangga dengan apa yang sudah dicapainya.

Dia membuat kita teruja menunggu apa lagi yang bakal dilakukannya untuk Malaysia.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.