Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Dah Menopaus Pun Masih Ada Rasa Nak Cari Cinta Lagi?

Manusia pada usia berapa pun masih memerlukan hubungan sosial, teman berbual, rasa dihargai, kasih sayang dan hubungan emosi yang rapat.

“Dah menopaus pun sibuk nak bercinta.”

Ayat macam ini mungkin kedengaran kelakar, tetapi sebenarnya ramai yang masih beranggapan apabila seorang wanita sudah menopaus, dia sepatutnya berhenti memikirkan soal cinta. Anak-anak sudah besar, umur sudah meningkat, rambut pun sudah mula beruban. Jadi, apa lagi yang hendak dikejar?

Hakikatnya, menopaus tidak memadam keperluan seseorang untuk dicintai. Menopaus ialah perubahan biologi apabila haid berhenti secara kekal, bukannya tanda bahawa seorang wanita sudah tidak mempunyai emosi, keinginan atau keperluan untuk mempunyai pasangan.

Malah, bagi sesetengah wanita, fasa selepas menopaus boleh menjadi masa mereka kembali memikirkan diri sendiri. Bertahun-tahun mereka mungkin sibuk membesarkan anak, menjaga rumah tangga dan memenuhi keperluan keluarga. Bila anak sudah dewasa dan tanggungjawab semakin berkurangan, mereka mempunyai lebih banyak ruang untuk bertanya, “Apa yang aku mahu untuk diri sendiri?”

Di sinilah rasa ingin dicintai boleh muncul semula, termasuk apabila bertemu seseorang yang membuatkan hati kembali berdebar.

Dan cinta pada usia ini tidak semestinya bermaksud mahu berkahwin atau melakukan hubungan seksual semata-mata. Manusia pada usia berapa pun masih memerlukan hubungan sosial, teman berbual, rasa dihargai, kasih sayang dan hubungan emosi yang rapat. Mempunyai pasangan juga boleh memberikan rasa ditemani, terutama bagi mereka yang sudah lama hidup sendiri atau kehilangan pasangan terdahulu.

Jangan pula anggap keinginan seksual terus hilang selepas menopaus. Perubahan hormon memang boleh mempengaruhi libido dan menyebabkan sesetengah wanita mengalami kekeringan faraj atau ketidakselesaan ketika hubungan intim. Tetapi pengalaman setiap wanita berbeza. Ada yang keinginan seksualnya berkurangan, ada yang tidak berubah dan ada juga yang masih mempunyai keinginan yang kuat.

Malah, sesetengah wanita mungkin lebih selesa dengan hubungan pada usia ini kerana mereka sudah mengenali diri sendiri dengan lebih baik. Mereka tidak lagi terlalu risau tentang apa orang fikir, tidak lagi mencari pasangan semata-mata kerana tekanan untuk berkahwin dan lebih tahu jenis hubungan yang mereka mahukan.

Jadi bila nampak wanita berusia 50-an atau 60-an tiba-tiba ada cinta baru, tak perlulah cepat menyindir, “Dah tua pun nak bercinta.”

Biarkanlah.

Kalau orang muda boleh jatuh cinta, orang yang sudah menopaus pun masih manusia. Hormon boleh berubah, haid boleh berhenti, tetapi keperluan untuk disayangi, dihargai dan mempunyai seseorang untuk berkongsi hidup tidak mempunyai tarikh luput.

Mungkin yang sudah menopaus itu bukan hatinya. Cuma nombor pada umur sahaja yang bertambah.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.