Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Kata Sayang Anak Sama Rata, Tapi Beri Layanan Berbeza

Seorang anak buat silap, ibu ayah kata, “Biasalah dia.” Tetapi bila anak yang seorang lagi buat kesalahan yang sama, ceramahnya boleh sampai malam.

“Mak ayah sayang semua anak sama rata.”

Ayat ini selalu kita dengar. Dan mungkin memang benar, ibu bapa tidak pernah terfikir untuk menyayangi seorang anak lebih daripada yang lain. Tetapi masalahnya, kasih sayang bukan hanya tentang apa yang ada dalam hati ibu dan ayah. Anak-anak menilainya melalui apa yang mereka lihat dan rasa daripada layanan setiap hari.

Sebab itu ada anak yang sampai dewasa masih tertanya-tanya, “Kenapa abang boleh buat begitu, tapi bila aku buat, salah pula?”

Kadang-kadang perbezaannya nampak kecil. Anak sulung minta sesuatu, cepat diberi. Anak yang lain pula perlu berkira-kira. Seorang anak buat silap, ibu ayah kata, “Biasalah dia.” Tetapi bila anak yang seorang lagi buat kesalahan yang sama, ceramahnya boleh sampai malam.

Ada pula anak yang sentiasa dianggap paling bertanggungjawab. Bila keluarga ada masalah, dialah yang dicari. Bila adik-beradik perlukan duit, dialah yang diharapkan. Bila ibu bapa sudah tua, dia juga yang dianggap patut menjaga. Pada masa yang sama, anak yang jarang membantu pula mungkin lebih banyak mendapat perhatian kerana ibu ayah risau dia terasa hati.

Lama-lama anak yang banyak berkorban boleh mula rasa, “Aku ni anak juga, atau aku cuma tempat keluarga bergantung?”

Dalam sesetengah keluarga, pilih kasih juga berlaku tanpa ibu bapa sedar. Mereka mungkin lebih rapat dengan anak yang perangainya sama dengan mereka, lebih mudah memahami anak yang lembut, atau lebih risau terhadap anak yang dianggap paling bermasalah. Bukan semestinya kerana kurang sayang kepada anak lain, tetapi layanan yang berbeza tetap boleh meninggalkan kesan.

Yang paling susah ialah apabila ibu bapa menafikan perasaan anak.

“Mana ada mak pilih kasih.”

“Mak sayang semua sama.”

“Jangan fikir bukan-bukan.”

Mungkin niat ibu bapa betul. Tetapi kalau anak sudah berkali-kali merasakan dirinya dianaktirikan, mungkin bukan perasaannya yang perlu terus disalahkan. Mungkin ada sesuatu dalam cara keluarga melayan mereka yang perlu diperbaiki.

Namun anak-anak juga perlu faham, layanan yang berbeza tidak semestinya bermaksud kasih sayang yang berbeza. Keperluan setiap anak memang tidak sama. Anak kecil mungkin perlukan lebih perhatian, anak yang sakit perlukan penjagaan lebih, manakala anak yang sudah dewasa mungkin diberi lebih kebebasan.

Jadi adil tidak semestinya bermaksud semua anak mendapat benda yang sama. Tetapi anak perlu merasakan mereka dihormati, didengari dan dihargai.

Sebab kadang-kadang seorang anak tidak meminta duit lebih, rumah lebih besar atau layanan istimewa.

Dia cuma mahu rasa bahawa bila mak ayah memandang dia, dia juga cukup penting seperti adik-beradiknya.

Sayang semua anak sama mungkin mudah untuk disebut. Tetapi memastikan setiap anak benar-benar merasai kasih sayang itu, mungkin jauh lebih susah.

Meme gif. In an interview with a TV reporter, a little boy's smiling turns into crying, as he covers his face with his hands. Text, "I'm fine."

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.