Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Ada Yang Kata Lazy Eye dan Mata Juling Sama, Betul Ke?

Ada kanak-kanak yang matanya nampak normal, tetapi sebenarnya satu mata tidak berkembang dengan baik. Sebab itu pemeriksaan awal penting.

Ramai yang bila nampak mata seseorang tak selari atau macam “lari” sedikit, terus sebut, “Oh, dia ada lazy eye.” Tapi betulkah lazy eye dan mata juling ialah benda yang sama?

Tidak ya , geng.

Dalam istilah perubatan, lazy eye biasanya merujuk kepada amblyopia. Keadaan apabila penglihatan pada sebelah mata atau kedua-dua mata tidak berkembang dengan baik sejak kecil. Otak lama-kelamaan lebih bergantung kepada mata yang melihat dengan lebih jelas dan “mengabaikan” imej daripada mata yang lemah.

Sebab itu, seorang kanak-kanak yang ada lazy eye tak semestinya mempunyai mata yang nampak juling. Dari luar, kedua-dua matanya mungkin nampak lurus seperti biasa tetapi tahap penglihatan kedua-duanya sebenarnya tidak sama.

Mata juling pula dikenali sebagai strabismus. Ia berlaku apabila kedua-dua mata tidak menghala ke arah yang sama. Satu mata mungkin melihat lurus, manakala satu lagi boleh tersasar ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah.

Yang menariknya, mata juling boleh menjadi salah satu punca lazy eye.

Contohnya, kalau sejak kecil satu mata selalu tersasar, otak mungkin memilih untuk mengabaikan imej daripada mata tersebut bagi mengelakkan penglihatan berganda. Lama-kelamaan, penglihatan mata itu tidak berkembang sebaik mata yang satu lagi.

Jadi, mudah cerita…

Lazy eye = masalah perkembangan penglihatan.

Mata juling = masalah penjajaran/kedudukan mata.

Dua keadaan berbeza tetapi boleh berkait antara satu sama lain.

Sebab itu kalau ibu bapa perasan mata anak nampak tak selari, anak selalu menutup sebelah mata, memiringkan kepala ketika melihat atau sukar mengagak jarak, jangan tunggu sehingga dia besar dengan harapan keadaan itu akan hilang sendiri.

Masalah penglihatan tertentu pada kanak-kanak lebih baik dikesan dan dirawat awal kerana otak masih dalam tempoh penting untuk membentuk penglihatan.

Dan satu lagi perkara yang ramai terlepas pandang. anak yang nampak macam “tak ada apa-apa” pada matanya pun boleh mengalami amblyopia.

Jadi kalau ada keraguan, pemeriksaan mata bukan semata-mata untuk tengok sama ada mata anak juling atau tidak. Ia juga untuk memastikan kedua-dua mata benar-benar berkembang dan berfungsi dengan baik.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.