Dengar playlist penuh di sini
.
Cuba semak karangan Bahasa Melayu anak-anak sekolah sekarang. Kadang-kadang bukan kita tak faham apa yang mereka tulis, tetapi ada perkataan yang buat cikgu pening, “Ini karangan Bahasa Melayu Malaysia ke karangan Bahasa Indonesia?”
Penggunaan perkataan seperti “nggak”, “banget”, “kamu”, “aku”, “bikin”, “kayaknya”, “cuma”, “gimana” dan pelbagai lagi semakin mudah muncul dalam komunikasi anak muda. Bukan kerana mereka sengaja mahu mengubah bahasa, tetapi kerana mereka terdedah kepada kandungan Indonesia setiap hari.
TikTok, YouTube, drama, filem, podcast dan media sosial menjadikan sempadan bahasa semakin nipis. Kandungan Indonesia sangat banyak, mudah difahami dan sentiasa muncul di hadapan mata. Bila sesuatu perkataan didengar dan dibaca berulang kali, lama-kelamaan ia terasa normal.
Masalahnya bermula apabila bahasa yang digunakan dalam media sosial dibawa masuk ke dalam penulisan akademik. Cikgu pula yang pening apabila membaca karangan murid. Struktur ayat bercampur, kosa kata Indonesia masuk dalam karangan Bahasa Melayu Malaysia dan ada murid yang mungkin tidak sedar bahawa perkataan tersebut sebenarnya lebih lazim digunakan dalam bahasa Indonesia.
Jadi, kat mana silapnya?
Adakah anak-anak kita yang salah?
Tak semestinya.
Bahasa memang sentiasa berubah. Peminjaman perkataan daripada bahasa lain bukan perkara baharu. Bahasa Melayu sendiri mempunyai sejarah panjang menerima pengaruh daripada bahasa Arab, Sanskrit, Tamil, Parsi, Portugis, Belanda dan Inggeris. Yang menjadi persoalan sekarang ialah sejauh mana pengaruh tersebut berlaku sehingga murid sendiri semakin sukar membezakan ragam Bahasa Melayu Malaysia dengan Bahasa Indonesia.
Kita juga perlu bertanya tentang pendedahan kepada Bahasa Melayu yang berkualiti. Kalau seorang murid lebih banyak membaca kapsyen media sosial, menonton video pendek dan mengikuti pencipta kandungan Indonesia berbanding membaca buku, akhbar atau karya sastera Malaysia, sudah tentu sumber bahasa yang paling banyak mempengaruhi mereka datang daripada media tersebut.
Ini bukan bermaksud kandungan Indonesia perlu dijauhi. Bahasa serumpun sepatutnya menjadi jambatan, bukan musuh. Tetapi anak-anak perlu diajar bahawa bahasa mempunyai konteks. Bahasa yang sesuai untuk sembang TikTok belum tentu sesuai untuk karangan peperiksaan.
Guru pula tidak boleh seorang diri memikul tugas mempertahankan penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Sekolah, keluarga, media, penerbit dan pencipta kandungan tempatan semuanya memainkan peranan.
Kalau kita mahu anak-anak menghargai Bahasa Melayu Malaysia, berikan mereka lebih banyak sebab untuk menggunakannya.
Sebab kalau anak-anak kita lebih banyak membaca dan mendengar bahasa dari skrin berbanding bahasa yang berkualiti dari persekitaran sendiri, jangan terkejut kalau suatu hari nanti cikgu bukan saja pening nak tanda karangan. Malah cikgu mungkin kena buka Google untuk semak, “Perkataan ni Bahasa Melayu Malaysia ke Bahasa Indonesia sebenarnya?”

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.