Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Bakal Suami Minta Izin Hubungi Bekas Kekasih Sebelum Nikah

Kalau benar-benar sudah melepaskan masa lalu, dia tidak sepatutnya memerlukan masa lalu untuk menentukan sama ada dia sudah bersedia mencintai masa depan.

Bayangkan sehari sebelum akad nikah, bakal suami tiba-tiba kata, “Saya nak telefon ex saya sekejap. Saya nak buat clearance. Lepas tu saya boleh betul-betul let go dan move on.”

Sebagai bakal isteri, apa reaksi anda?

Bagi sesetengah orang, mungkin nampak matang. Dia mahu menutup buku lama sebelum membuka buku baru. Katanya bukan nak sambung hubungan, bukan nak pujuk ex kembali, cuma mahu bercakap buat kali terakhir supaya hati benar-benar selesai.

Tetapi bagi orang lain, ayat “nak closure” itu sendiri sudah cukup membuatkan hati tak sedap.

Sebab persoalannya bukan sekadar “boleh atau tak boleh telefon ex”. Persoalannya ialah kenapa dia masih memerlukan satu perbualan terakhir dengan orang lama untuk bersedia berkahwin dengan orang baru?

Kalau hubungan itu benar-benar sudah selesai, kenapa masih ada sesuatu yang perlu “clear”? Adakah ada perkara yang belum diselesaikan? Ada perasaan yang masih tertinggal? Ada persoalan yang tidak pernah dijawab? Atau sebenarnya dia mahu mendengar suara bekas kekasih itu sekali lagi sebelum melangkah ke alam perkahwinan?

Kita juga perlu faham bahawa “closure” tidak semestinya datang daripada orang yang pernah menyakiti atau meninggalkan kita. Kadang-kadang closure datang apabila kita sendiri menerima bahawa hubungan itu sudah berakhir. Kita tidak semestinya memerlukan bekas pasangan untuk memberikan satu ayat terakhir supaya kita boleh meneruskan hidup.

Lebih-lebih lagi apabila panggilan itu berlaku betul-betul sebelum akad nikah. Fasa ini sepatutnya menjadi masa untuk pasangan memberi perhatian kepada hubungan yang bakal dibina, bukan membuka semula pintu kepada hubungan lama.

Namun, terus menganggap dia masih mencintai ex juga mungkin tidak adil. Ada orang memang mahu menutup hubungan lama dengan cara yang mereka anggap matang. Tetapi niat tidak boleh dibaca hanya melalui satu ayat. Yang lebih penting ialah apa yang sebenarnya mahu dibincangkan, bagaimana sejarah hubungan mereka dan sama ada pasangan sanggup menetapkan batas yang jelas.

Kalau bakal isteri rasa tidak selesa, dia berhak menyatakan perasaannya. “Saya faham awak nak closure, tapi saya tak selesa awak hubungi dia sehari sebelum kita berkahwin.”

Dan bakal suami pula perlu bersedia mendengar, bukan terus mengatakan, “Awak tak percayakan saya?”

Sebab kepercayaan bukan bermaksud kita tidak boleh mempunyai batas.

Mungkin ada orang akan izinkan kerana percaya pasangannya. Ada yang tidak izinkan kerana merasakan masa dan cara itu tidak sesuai. Kedua-duanya perlu dibincangkan dengan matang sebelum akad, bukan selepas terluka.

Satu perkara yang pasti, kalau seseorang benar-benar sudah melepaskan masa lalu, dia tidak sepatutnya memerlukan masa lalu untuk menentukan sama ada dia sudah bersedia mencintai masa depan.

Kadang-kadang “closure” yang paling jelas ialah tidak menelefon lagi.

Video gif. A young girl sits in a chair, hair in disheveled ponytails. She gives a big shrug and says “what?” utterly confused and baffled.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.