Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Anak Perempuan Makin Awal Datang Haid, Patut Risau Ke?

Bayangkan anak baru 9 tahun. Tiba-tiba dia kena faham apa itu pad, darah haid, sakit perut dan perubahan badan.
Portrait of a young woman smiling while playfully biting grass in a green outdoor setting.

“Eh, anak aku baru darjah 3 dah datang haid!”

Kalau dulu ayat macam ni mungkin buat kita terdiam sekejap. Sekarang, semakin ramai ibu yang berkongsi pengalaman sama. Anak perempuan baru 9 atau 10 tahun, sudah mula ada perubahan pada badan dan ada yang sudah mengalami haid.

Terus ibu mula tertanya-tanya…

“Awal sangat ni. Normal ke sebenarnya?”

Sebenarnya, waktu anak perempuan mula datang haid memang berbeza-beza. Ada yang lebih awal, ada yang lebih lewat. Jadi, tidak semestinya bila haid datang awal, terus bermaksud ada sesuatu yang tidak kena.

Tetapi kenapa kita rasa macam semakin ramai anak perempuan datang haid lebih awal sekarang?

Antara perkara yang dikaitkan dengan usia akil baligh ialah faktor genetik, pemakanan, berat badan dan komposisi badan. Gaya hidup serta tahap aktiviti fizikal juga boleh memainkan peranan.

Berat badan turut menjadi salah satu perkara yang diperhatikan. Tisu lemak boleh mempengaruhi sistem hormon badan dan kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung mengalami akil baligh lebih awal berbanding sesetengah kanak-kanak lain.

Namun, ada satu perkara penting yang ibu ayah kena tahu.

Kalau anak perempuan mula menunjukkan tanda akil baligh sebelum umur 8 tahun, itu dikira terlalu awal dan elok dinilai oleh doktor.

Bukan bermaksud anak itu pasti mempunyai masalah kesihatan. Tetapi pemeriksaan boleh membantu doktor melihat sama ada perkembangan hormon berlaku terlalu awal dan sama ada ada punca tertentu yang perlu diperiksa.

Sebab isu ini sebenarnya bukan sekadar tentang datang haid.

Bayangkan anak baru 9 tahun. Tiba-tiba dia kena faham apa itu pad, darah haid, sakit perut dan perubahan badan. Sedangkan dalam kepala dia, dia masih nak main, tengok kartun dan bergaduh dengan adik sebab berebut remote TV.

Badan dah masuk fasa lain tapi emosi masih budak-budak.

Sebab itu pendidikan tentang haid tak sepatutnya bermula selepas darah pertama keluar. Bila ibu nampak tanda-tanda awal seperti payudara mula membesar, bulu tumbuh di kawasan tertentu atau bau badan berubah, sudah boleh mula terangkan sedikit demi sedikit.

Tak perlu buat sesi ceramah dua jam.

Cukup dengan bahasa yang anak faham.

Beritahu dia bahawa perubahan itu normal, tubuhnya sedang membesar dan dia tidak perlu malu atau takut.

Dan satu lagi perkara penting, haid bukan bermaksud anak itu sudah dewasa sepenuhnya.

Dia masih perlukan bimbingan, perlindungan dan ruang untuk menjadi kanak-kanak.

Jadi kalau haid datang awal, jangan terus panik.

Perhatikan keseluruhan perkembangan anak. Kalau tanda akil baligh muncul terlalu awal, dapatkan pemeriksaan.

Dalam hal macam ni, lebih baik ibu tahu apa yang sedang berlaku pada tubuh anak daripada sekadar tertanya-tanya seorang diri.

Anak mungkin membesar lebih cepat daripada yang kita sangka. Tapi mereka tetap perlukan kita untuk ajar mereka cara menghadapinya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.