Dengar playlist penuh di sini
.
Anak baru kenal chess, tiba-tiba duduk depan papan catur dengan muka serius macam tengah bincang bajet negara.
Walaupun nampak macam permainan biasa, sebenarnya chess antara aktiviti yang boleh buat otak anak bekerja dengan cara yang menarik.
Sebabnya mudah. Dalam chess, anak tak boleh main ikut suka hati. Nak gerakkan satu buah pun kena tengok dulu kedudukan atas papan, fikir langkah lawan dan agak apa yang mungkin berlaku selepas itu.
Pendek kata, otak kena sentiasa “on”.
Sebab itu, memperkenalkan chess sejak usia muda boleh menjadi salah satu cara yang menyeronokkan untuk merangsang kemahiran kognitif anak. Mereka belajar memberi perhatian, mengingati kedudukan buah, mengenal corak dan menggunakan logik untuk mencari langkah seterusnya.
Paling best, proses itu berlaku sambil mereka bermain. Tak terasa macam tengah “belajar”.
Chess juga memerlukan fokus dan kesabaran. Anak kena tahan diri daripada terus menggerakkan buah sesuka hati hanya sebab nampak satu langkah yang menarik.
Kadang-kadang kena tunggu.
Kadang-kadang kena ubah strategi.
Kadang-kadang dah rasa yakin nak menang, sekali…
“Checkmate.”
Haaa, terduduk.
Tetapi daripada situ juga anak belajar. Mereka mula memahami bahawa keputusan yang dibuat boleh membawa kesan dan kesilapan boleh diperbaiki dengan mencuba strategi lain.
Dari sudut memori pula, anak perlu mengingati pergerakan, peraturan dan corak tertentu sepanjang permainan. Semakin kerap bermain, semakin banyak pengalaman yang boleh digunakan untuk membuat keputusan pada permainan seterusnya.
Namun, jangan pula terus target anak umur enam tahun mesti jadi grandmaster. Tak perlu.
Yang lebih penting ialah proses berfikir itu sendiri.
Dalam zaman anak-anak banyak terdedah kepada skrin dan hiburan yang bergerak pantas, chess menawarkan satu bentuk permainan yang lebih perlahan tetapi tetap mencabar otak.
Tak ada bunyi meletup-letup. Tak ada karakter berlari. Tak ada “level up” setiap lima minit.
Cuma papan, buah catur dan seorang anak yang sedang cuba fikir, “Kalau aku gerak sini… dia makan aku tak?”
Jadi kalau ada papan chess tersimpan dalam almari dan dah berhabuk, mungkin boleh keluarkan semula.
Main dengan anak. Biar dia kalah. Biar kita kalah juga kalau perlu. Yang penting, otak sedang digunakan, fokus sedang dilatih dan masa bersama keluarga pun dapat.
Tak semestinya aktiviti untuk anak perlu canggih. Kadang-kadang papan catur yang nampak simple itu pun boleh buat otak kecil mereka bekerja keras.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.