Dengar playlist penuh di sini
.
Bila dengar lagi berita pelajar asrama maut akibat dibuli, soalan yang sama mesti terlintas dalam kepala ramai ibu bapa adalah ….sampai bila?
Terbaharu, kita dikejutkan dengan berita pemergian Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, pelajar Tingkatan Dua SMK Za’ba, Kuala Pilah.
Allahyarham dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan disahkan meninggal dunia. Kes itu kini dalam siasatan, susulan dakwaan bahawa beliau mungkin menjadi mangsa buli. Pihak PIBG juga meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Apa pun hasil siasatan nanti, berita seorang anak pergi dalam usia begitu muda tetap cukup untuk membuat hati ibu bapa berderau.
Setiap kali kes buli berlaku, kita marah. Kita kecam. Kita persoalkan sekolah. Kita persoalkan warden. Kita persoalkan ibu bapa.
Tapi selepas beberapa hari, perhatian mula reda.
Kes baharu pula muncul.
Dan kita kembali bertanya soalan yang sama.
Kenapa masih berlaku?
Hakikatnya, buli bukan sekadar “budak-budak bergaduh”.
Buli boleh meninggalkan kesan fizikal dan emosi yang sangat berat kepada mangsa. Lebih membimbangkan apabila ia berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk anak-anak termasuk asrama.
Anak yang dibuli mungkin takut untuk bersuara. Ada yang malu. Ada yang risau dianggap mengadu. Ada juga yang mungkin sudah pernah cuba memberi petanda, tetapi orang dewasa di sekeliling tidak menyedarinya atau menganggap ia sekadar masalah kecil antara pelajar.
Di sinilah sebenarnya kita perlu berhenti sekejap dan fikir.
Adakah kita benar-benar tahu apa yang berlaku kepada anak kita apabila dia keluar dari rumah?
Dan kalau seorang anak berani memberitahu bahawa dia dibuli, adakah kita benar-benar mendengar?
Tindakan terhadap buli tidak boleh bermula selepas sesuatu yang buruk berlaku. Ia perlu bermula ketika tanda pertama muncul.
Sekolah perlu mempunyai saluran aduan yang mudah, selamat dan dipercayai pelajar. Warden dan guru pula perlu peka terhadap perubahan tingkah laku, kecederaan yang mencurigakan, ketakutan untuk kembali ke asrama atau perubahan mendadak dalam emosi anak.
Ibu bapa juga ada peranan besar.
Jangan tunggu anak balik rumah dengan lebam baru kita bertanya.
Kadang-kadang soalan mudah seperti, “Ada sesiapa buat kau rasa tak selamat dekat sekolah atau asrama?” mungkin membuka ruang untuk anak bercerita.
Dan kepada anak-anak yang menjadi saksi buli, jangan anggap diam itu bermaksud tidak terlibat.
Beritahu orang dewasa yang boleh dipercayai. Jangan menjadi penonton apabila seseorang sedang disakiti.
Kita mungkin tidak mampu menghapuskan buli dalam satu malam.
Tetapi kita boleh pastikan satu perkara… jangan sampai anak terpaksa kehilangan nyawa sebelum orang dewasa mula mengambil tindakan.
Anak yang dihantar ke asrama bukan dihantar untuk belajar bertahan hidup.
Mereka dihantar untuk belajar, membesar dan pulang kepada keluarga.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.