Dengar playlist penuh di sini
.
F1 dah kembali ke Malaysia. Memang boleh faham kalau peminat tempatan tengah excited. Pelumba dan pasukan yang selama ini kita tengok melalui skrin sekarang sudah ada depan mata. Litar Sepang pula bakal kembali meriah dengan bunyi enjin, jentera laju dan ribuan peminat yang datang dari pelbagai tempat.
Tapi dalam kita seronok menyambut kedatangan team F1, ada satu perangai yang rasanya kita kena tahan sikit.
Baru nampak driver atau team F1 sampai Malaysia, sudah ada yang sibuk nak cari mereka menginap di hotel mana. Perangai stalker!
Siap ada yang mahu kongsi lokasi, teka hotel, cari gambar lobi dan cuba dedahkan tempat mereka tinggal.
Kita faham perasaan peminat. Kalau dapat terserempak dengan driver kegemaran di hotel, memang boleh jadi kenangan seumur hidup. Nak minta autograph, nak bergambar atau sekadar nampak mereka depan mata memang seronok.
Tetapi hotel adalah tempat mereka berehat.
Driver F1 bukan datang Malaysia untuk menjadi selebriti yang perlu dilayan seperti tontonan awam 24 jam sehari. Mereka datang untuk berlumba. Mereka perlu tidur, berehat, menjalani latihan, berbincang dengan pasukan dan membuat persediaan sebelum perlumbaan.
Bayangkan kalau lokasi hotel disebarkan secara terbuka.
Tiba-tiba peminat mula menunggu di lobi. Ada yang cuba mengekori kereta. Ada yang menunggu di pintu masuk. Ada pula yang cuba mencari tingkat atau nombor bilik.
Pada ketika itu, ia sudah bukan lagi sekadar “fan behaviour”.
Ia sudah masuk ke kawasan privasi seseorang.
Kalau terserempak dengan driver di tempat awam dan dia nampak selesa untuk bergambar, silakan. Kalau dia berhenti dan melayan peminat, hargailah peluang itu.
Tetapi kalau dia sedang makan, berjalan bersama keluarga atau nampak mahu bersendirian, tak salah pun untuk beri ruang.
Dan kalau tahu hotel mereka menginap, tak perlulah berlumba-lumba menjadi orang pertama yang umumkan kepada satu internet.
Tak perlu buat video, “Guys, aku tahu driver ni duduk hotel mana!”
Tak perlu tag lokasi.
Tak perlu kongsi nombor bilik.
Tak perlu dedahkan jadual mereka keluar masuk hotel.
Kita selalu bangga apabila orang luar kata rakyat Malaysia ramah dan peminat kita sporting.
Jadi kali ini, tunjukkan juga kita tahu beza antara menjadi peminat dengan menjadi terlalu kepoh.
F1 sudah kembali ke Malaysia.
Pergilah Sepang, sorak sekuat hati, ambil gambar dan nikmati pengalaman.
Tapi bila driver balik hotel, biarlah dia tidur dengan aman.
Kita tak perlu kepoh sampai tahu dia sarapan apa esok pagi.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.