Dengar playlist penuh di sini
.
Perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia sememangnya sentiasa mempunyai aura tersendiri. Rivaliti, sorakan penyokong dan semangat mempertahankan pasukan masing-masing adalah perkara biasa dalam sukan. Namun, apabila perlawanan tamat dan emosi mula reda, kita seharusnya kembali melihat satu perkara yang lebih besar, hubungan antara dua negara jiran yang sudah lama terjalin.
Selepas perlawanan Malaysia dan Indonesia di Jakarta baru-baru ini, perhatian turut diberikan kepada kawalan keselamatan terhadap penyokong Malaysia ketika meninggalkan stadium. Situasi seperti ini sememangnya menimbulkan kebimbangan, lebih-lebih lagi apabila terdapat laporan mengenai provokasi dan kata-kata penghinaan daripada sebahagian penyokong.
Namun, dalam membincangkan perkara ini, kita juga perlu berhati-hati. Tindakan segelintir individu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita melabel seluruh rakyat sesebuah negara.
Malaysia bukan Indonesia, dan Indonesia bukan Malaysia. Setiap negara mempunyai sejarah, budaya, kelebihan dan cabaran tersendiri. Tidak ada keperluan untuk membuktikan bahawa satu negara lebih baik daripada negara yang lain. Negara kita baik untuk kita, dan negara mereka juga mempunyai nilai serta keistimewaan tersendiri untuk rakyat mereka.
Lebih penting, hubungan rakyat kedua-dua negara sebenarnya sangat rapat. Ramai rakyat Indonesia datang ke Malaysia untuk mencari rezeki, bekerja, berniaga dan membina kehidupan. Begitu juga rakyat Malaysia yang berkunjung, bekerja, belajar dan menjalankan perniagaan di Indonesia.
Jangan sampai provokasi di media sosial menyebabkan rakyat biasa yang tidak mempunyai kaitan dengan kontroversi bola sepak turut menjadi mangsa kebencian.
Dalam perkara seperti ini, golongan influencer dan selebriti juga mempunyai peranan yang besar. Mereka mempunyai pengikut yang ramai dan setiap perkongsian boleh mempengaruhi cara orang ramai melihat sesuatu isu. Sokonglah pasukan sendiri, banggalah dengan negara sendiri, tetapi tidak perlu menghina negara atau rakyat lain untuk menunjukkan patriotisme.
Kita boleh berbeza pendapat tanpa bermusuh. Kita boleh bersaing tanpa membenci. Kita boleh menyokong Malaysia tanpa perlu merendahkan Indonesia, dan begitu juga sebaliknya.
Bola sepak hanya berlangsung 90 minit. Selepas itu, kita semua kembali menjadi manusia yang berkongsi dunia yang sama.
Jangan biarkan satu perlawanan mencipta kebencian yang berpanjangan antara dua negara jiran. Untuk rakyat Malaysia, kita sepatutnya tidak mempedulikan provokasi , tunjukkan anda lebih matang, berpelajaran dan ada class dengan cara kita sendiri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.