Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Sejauh Manakah Doa Seorang Ibu Dikatakan Tiada Hijab?

Ada sebab doa ibu begitu istimewa dalam Islam. Di sebalik kasih seorang ibu, tersimpan doa yang mungkin tidak pernah kita dengar.

“Doa ibu tiada hijab,” ayat cukup biasa kita dengar. Malah ramai yang menggunakannya sebagai peringatan supaya anak-anak menjaga hati dan perasaan ibu.

Tetapi sejauh manakah sebenarnya maksud di sebalik ungkapan tersebut?

Dalam Islam, doa ibu bapa untuk anak memang mempunyai kedudukan yang istimewa. Rasulullah SAW bersabda bahawa antara doa yang tidak diragukan penerimaannya ialah doa ibu bapa terhadap anaknya.

Sebab itu, doa seorang ibu bukan sesuatu yang patut dipandang remeh.

Tetapi perkataan “tiada hijab” tidak bermaksud setiap apa yang diminta oleh seorang ibu akan terus berlaku seperti yang dimahukan. Allah SWT tetap menentukan bila, bagaimana dan dalam bentuk apa sesuatu doa itu dikabulkan.

Ada doa yang diberikan seperti yang diminta. Ada yang ditangguhkan kerana waktunya belum sesuai. Ada juga yang Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih baik atau menjauhkan keburukan yang tidak kita sedari.

Jadi, keistimewaan doa seorang ibu bukan bermaksud ibu mempunyai kuasa menentukan nasib anaknya.

Sebaliknya, ia menunjukkan betapa tinggi kedudukan ibu bapa dalam Islam sehingga doa mereka terhadap anak diberi perhatian khusus.

Bayangkan seorang ibu yang setiap hari mendoakan anaknya.

“Ya Allah, lindungi anak aku.”

“Ya Allah, permudahkan urusannya.”

“Ya Allah, jangan biarkan dia tersesat.”

Kadang-kadang anak sendiri tidak tahu pun doa itu pernah dilafazkan.

Ada ibu yang mendoakan anak ketika anak sedang tidur. Ada yang menangis selepas solat kerana memikirkan masa depan anak. Ada yang walaupun sudah kecewa berkali-kali, masih menyebut nama anak dalam doanya.

Itulah yang menjadikan doa seorang ibu begitu besar maknanya.

Namun begitu, ungkapan “doa ibu tiada hijab” juga tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengatakan seorang ibu boleh mendoakan sesuatu yang buruk kepada anak sesuka hati dan ia pasti berlaku.

Malah seorang ibu juga sepatutnya berhati-hati dengan kata-katanya terhadap anak.

Kata-kata yang keluar ketika marah mungkin hanya beberapa saat tetapi kesannya kepada hati anak boleh makan bertahun-tahun.

Jadi apabila ada yang kata, “Jaga hati ibu, doa ibu tiada hijab,” mesej sebenarnya bukan untuk membuat anak hidup dalam ketakutan.

Ia adalah peringatan supaya kita menghargai insan yang sejak kecil tidak pernah berhenti meminta Allah menjaga kita.

Dan mungkin, selepas memahami maksudnya, kita akan lebih berhati-hati apabila bercakap dengan ibu.

Dan doa yang lahir daripada kasih seorang ibu, jangan sesekali kita anggap kecil.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.