Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Kenapa Anak Perempuan Ada Tempat Istimewa Dalam Hati Ayah?

Ada banyak perkara tentang diri seorang ayah yang perlahan-lahan berubah selepas hadirnya seorang anak perempuan.

Kehadiran seorang anak perempuan boleh mengubah seorang lelaki dengan cara yang dia sendiri tak pernah jangka.

Dulu mungkin ayah fikir tugasnya hanya mencari rezeki, memastikan rumah cukup makan dan anak-anak membesar dalam keadaan baik.

Tapi apabila ada anak perempuan, dunia terasa sedikit berbeza.

Cara dia bercakap mula dijaga. Cara dia melayan orang mula difikirkan. Perkara yang dahulu dianggap kecil, tiba-tiba menjadi sesuatu yang perlu dipertimbangkan.

Sebab seorang ayah sedar, ada sepasang mata kecil yang sedang belajar mengenal dunia melalui dirinya.

Anak perempuan juga boleh membuat seorang ayah belajar bahawa tidak semua masalah perlu diselesaikan dengan ketegasan.

Ada ketika, anak cuma perlukan ayah berada di sisinya.

Ada masa, bukan nasihat yang diperlukan. Cukup dengan pelukan. Cukup dengan mendengar. Cukup dengan membuatkan dia rasa bahawa apa pun yang berlaku, rumah tetap menjadi tempat dia kembali.

Dan mungkin tanpa disedari, anak perempuan itu perlahan-lahan membuka ruang dalam hati ayah yang selama ini jarang disentuh.

Ayah yang dahulu susah nak tunjuk diri tu caring, mula pandai bertanya, “Dah makan?”

Yang jarang memuji, mula perasan perubahan kecil pada anaknya.

Yang selalu nampak gagah di mata keluarga, tiba-tiba boleh jadi paling risau apabila anaknya demam atau pulang lewat.

Begitulah anak perempuan.

Dia mungkin masih kecil tetapi kehadirannya boleh mengubah cara seorang lelaki melihat kehidupan.

Daripada hanya memikirkan bagaimana mahu membina masa depan, seorang ayah mula memikirkan bagaimana mahu memastikan anaknya membesar dalam dunia yang selamat untuk dia berjalan sendiri.

Mungkin itu antara hadiah paling indah yang datang bersama seorang anak perempuan.

Ayahnya sedang belajar menjadi manusia yang lebih sabar, lebih peka dan lebih tahu bahawa kasih sayang tidak semestinya perlu banyak kata.

Kadang-kadang, cukup dengan sentiasa ada.

Suatu hari nanti, anak kecil yang selalu mencari tangan ayahnya itu akan berjalan dengan langkah sendiri.

Dan bermula saat itu, mungkin seorang ayah akan sedar…bukan dia seorang yang mendidik anaknya tetapi sedikit demi sedikit anak perempuan itu sendiri yang mengajar ayahnya bagaimana menjadi seorang lelaki yang benar-benar ‘LELAKI’.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.