Dengar playlist penuh di sini
.
Bila isteri hamil, biasanya suami akan mula sibuk fikir macam-macam. Persiapan barang bayi, katil, lampin, baju kecil dan macam-macam lagi.
Tapi ada satu perkara mudah yang kadangkala terlepas pandang. Borak dengan bayi dalam kandungan!
Haa, kalau usia kandungan isteri dah masuk sekitar 28 minggu, inilah masa yang baik untuk bakal ayah lebih kerap menyapa si kecil. Tak perlu tunggu bayi lahir baru nak mula berkenalan, Geng!
Sebenarnya, keupayaan pendengaran bayi berkembang secara berperingkat ketika dalam kandungan. Menjelang sekitar minggu ke-28, bayi sudah boleh memberikan tindak balas terhadap bunyi, termasuk suara yang didengarinya dari luar rahim.
Jadi, apabila ayah bercakap dengan suara yang lembut, bayi mungkin dapat mendengar bunyi dan rentak suara tersebut walaupun bunyinya tidak sejelas yang kita dengar di luar.
Lebih menarik, pendedahan kepada suara yang biasa didengari sebelum lahir boleh membantu bayi mengenali suara orang tersayang selepas dilahirkan.
Sebab itulah, hubungan dengan anak sebenarnya boleh mula dibina sebelum kita berpeluang mendukungnya buat kali pertama.
Ada suami yang mungkin rasa kekok nak bercakap dengan perut isteri. Nak panggil sayang, nak bercerita tetapi akhirnya senyum seorang diri.
Tak mengapa, Geng. Tak perlu skrip khas pun!
Ayah boleh mulakan dengan perkara mudah seperti bertanya khabar bayi, bercerita tentang hari yang dilalui atau berkongsi rancangan apabila si kecil dilahirkan.
Contohnya, “Adik sihat hari ini? Nanti bila adik keluar, ayah nak bawa adik jalan-jalan.”
Kalau dah biasa menyanyi dalam kereta, bolehlah cuba nyanyikan lagu perlahan-lahan juga. Ibu dan ayah boleh membaca cerita atau berbual bersama bayi ketika suasana tenang.
Yang penting, gunakan suara biasa yang lembut dan selesa. Tak perlu menjerit atau memasang bunyi kuat semata-mata mahu bayi memberikan tindak balas. Elakkan juga meletakkan fon kepala terus pada perut kerana bunyi yang terlalu kuat tidak sesuai untuk bayi dalam kandungan.
Kadangkala, kita membayangkan hubungan ayah dan anak hanya bermula selepas bayi lahir. Hakikatnya, bakal ayah juga boleh mengambil bahagian sejak tempoh kehamilan lagi.
Temani isteri ketika pemeriksaan kehamilan, bantu persiapan menyambut bayi dan luangkan masa berbual bersama si kecil. Semua ini boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan membina hubungan sebagai sebuah keluarga.
Dan buat para suami, jangan risau kalau pada awalnya rasa janggal. Lama-lama nanti, mungkin ayah sendiri yang paling rajin mengajak bayi berbual!
Sebab sebelum anak mengenali dunia di luar rahim, suara ayah sudah boleh menjadi antara suara yang mula dikenalinya.
Jadi, Geng, kalau isteri sedang hamil 28 minggu ke atas, apa kata malam ini cuba luangkan beberapa minit untuk menyapa si kecil?
Tak perlu tunggu dia menjawab. Buat masa ini, cukuplah ayah mula berkenalan dahulu!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.