Dengar playlist penuh di sini
.
Nama Ruhainies kembali menjadi bualan selepas pelakon itu meluahkan rasa terkilan apabila namanya dipelesetkan menjadi “Ruhanat” sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Isu ini turut mendapat perhatian ketika Ruhainies mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa menyebarkan fitnah mengenai dirinya. Bagaimanapun, belum ada pengesahan bahawa tindakan tersebut khusus terhadap individu yang memulakan gelaran “Ruhanat”.
Ruhainies mengakui belum mengenal pasti siapa yang mula-mula menggunakan gelaran itu tetapi netizen lain terus-terusan mengikut sehingga kini. Dia juga meluahkan rasa terkilan kerana ibu bapanya memberikan nama yang mempunyai maksud baik.
Kita faham, nama Ruhainies bukanlah asing daripada kontroversi. Isu yang mengaitkannya dengan keretakan rumah tangga Bella Astillah dan Aliff Aziz suatu ketika dahulu memang mengundang kemarahan ramai.
Ada yang masih belum boleh menerima apa yang berlaku. Itu hak masing-masing.
Tetapi adakah kerana kita marah dengan seseorang, kita bebas memberikan apa sahaja gelaran?
Tak suka, tak bermakna boleh suka-suka nak hina.
Kita boleh mengkritik tindakan seseorang. Kita boleh tidak bersetuju dengan pilihannya. Namun, mengkritik perbuatan dan menjadikan nama seseorang sebagai bahan ejekan ialah dua perkara berbeza.
Kadangkala, sesuatu yang dianggap kelakar oleh orang ramai sebenarnya boleh melukakan hati individu yang menjadi sasaran.
Lebih-lebih lagi apabila gelaran itu diulang bertahun-tahun. Orang yang menaip mungkin sudah lupa komen yang ditulisnya tetapi orang yang menerima ejekan itu mungkin masih mengingatinya.
Dalam Islam, perkara ini juga ada batasnya.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, supaya kita tidak memperolok-olokkan orang lain dan tidak memanggil mereka dengan gelaran yang buruk.
Perhatikan, larangan ini bukan hanya untuk orang yang kita suka atau rapat dengan kita. Ia juga mengingatkan kita supaya menjaga adab terhadap orang yang tidak kita senangi.
Nak diikut kita tak perlu pun jadi peminat Ruhainies untuk memahami perkara ini.
Kita tak semestinya bersetuju dengan semua tindakan seseorang. Tetapi rasa tidak suka bukan alasan untuk kita mengetepikan adab.
Kalau nama kita sendiri dipelesetkan menjadi bahan ejekan selama bertahun-tahun, mampukah kita menganggapnya sebagai gurauan semata-mata?
Sebelum ikut ketawa atau menambah satu lagi komen, fikir sejenak. Adakah kita sedang menegur sesuatu yang salah atau sekadar menambah luka seseorang?
Kita boleh tak suka seseorang. Nak kritik , silakan tetapi jangan sampai ketika sibuk menilai kesalahan orang lain, kita sendiri terlupa menjaga akhlak.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.