Dengar playlist penuh di sini
.
Sekarang ni, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan. Ada yang siap sediakan katil khas, belikan makanan mahal, bawa pergi grooming dan sanggup berulang-alik ke klinik veterinar apabila si bulus jatuh sakit.
Pendek kata, ada keluarga yang memang layan kucing macam anak sendiri. Balik kerja, benda pertama dicari si bulus. Tengah makan pun sanggup berhenti sebab kucing datang menggesel kaki.
Tapi sayang macam mana sekalipun, kita kena ingat satu perkara. Kucing tetap haiwan yang perlukan perlindungan manusia, bukannya tempat untuk melampiaskan nafsu.
Sebab itulah dakwaan membabitkan seorang lelaki di Selising, Pasir Puteh, Kelantan yang tular baru-baru ini mengundang kemarahan ramai.
Video berdurasi kira-kira 56 saat yang tersebar di media sosial mencetuskan perhatian orang ramai. Polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun pada 19 Oktober 2026 untuk membantu siasatan.
Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari, manakala kucing yang dipercayai menjadi mangsa dibawa untuk pemeriksaan veterinar. Sebanyak 10 ekor kucing lain yang dipelihara suspek turut dipindahkan ke tempat selamat dengan bantuan pihak berkaitan.
Kes ini masih dalam siasatan dan dakwaan terhadap suspek belum boleh dianggap sebagai kesalahan yang telah dibuktikan.
Namun, satu perkara yang wajar kita fikirkan ialah nasib haiwan yang langsung tidak mampu menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya.
Kucing tak boleh menjerit meminta keadilan seperti manusia. Ia juga tak boleh menghubungi sesiapa untuk meminta pertolongan. Haiwan hanya bergantung pada manusia untuk memastikan keselamatannya.
Dalam Islam, berbuat baik terhadap haiwan juga sebahagian daripada tuntutan ihsan. Menjaga haiwan bukan hanya tentang memberi makan dan menyediakan tempat tidur tetapi turut memastikan ia tidak disakiti atau dianiaya.
Kalau kita sanggup menganggap kucing seperti keluarga sendiri, tanggungjawab melindunginya juga perlu datang bersama kasih sayang itu.
Tak kisahlah kucing kampung yang tidur di kaki lima atau si bulus gebu yang tinggal dalam rumah berhawa dingin, kedua-duanya tetap makhluk yang perlu dilayan dengan belas kasihan.
Ukuran kasih sayang bukan pada mahalnya makanan yang kita beli atau comelnya gambar yang kita muat naik.
Sebaliknya, kasih sayang itu terlihat pada cara kita melindungi makhluk yang bergantung kepada kita.
Kucing boleh jadi ahli keluarga. Tetapi jangan sesekali jadikan kepercayaan haiwan yang tak berdaya sebagai peluang untuk melakukan sesuatu yang menyakitinya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.