Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Masuk Bilik Tidur Anak Menantu, Korang Pernah Kena Ke?

Rumah mungkin milik ibu bapa tetapi selepas anak berkahwin, ada batas yang perlu dijaga. Kadangkala, satu ketukan pintu mampu mengelakkan hati terluka.

Ada satu perkara yang mungkin nampak biasa bagi sesetengah ibu bapa tetapi boleh membuatkan anak dan menantu rasa kurang selesa. Masuk ke bilik tidur anak yang sudah berkahwin tanpa mengetuk pintu atau meminta izin terlebih dahulu.

Bagi sesetengah mak ayah, rumah itu rumah mereka. Jadi, masuk ke mana-mana bilik mungkin dirasakan perkara biasa. Tambahan pula, anak sendiri yang tinggal di dalamnya. Takkan nak masuk bilik anak pun perlu minta izin?

Tetapi cuba lihat dari sudut yang berbeza.

Anak yang sudah berkahwin bukan lagi hidup sebagai seorang bujang. Bilik tidur itu kini menjadi ruang peribadi suami isteri. Ada waktunya mereka sedang berehat, berbincang hal rumah tangga, menukar pakaian atau sekadar mahu menikmati masa berdua.

Bayangkan sedang lena tidur, tiba-tiba pintu terbuka. Atau lebih mengejutkan, mentua masuk ketika anak menantu sedang ehem-ehem. Walaupun tiada niat buruk, situasi seperti ini boleh membuatkan seseorang berasa malu dan tidak selesa.

Sebenarnya, Islam sendiri mengajar kita tentang adab meminta izin sebelum memasuki ruang peribadi orang lain. Malah, Surah An-Nur ayat 58 mengingatkan tentang keperluan meminta izin pada waktu-waktu tertentu, termasuk sebelum Subuh, ketika berehat tengah hari dan selepas Isyak.

Ini menunjukkan bahawa privasi dan batas peribadi bukan perkara remeh dalam kehidupan berkeluarga.

Namun dalam masa yang sama, anak dan menantu juga perlu memahami keadaan ibu bapa. Jika tinggal sebumbung, masing-masing perlu bertolak ansur dan menjaga komunikasi. Ibu bapa tidak sepatutnya berasa seperti orang asing di rumah sendiri, manakala anak dan menantu pula tidak seharusnya menganggap permintaan untuk privasi sebagai satu bentuk kurang ajar.

Jalan tengahnya mudah. Ketuk pintu, beri salam dan tunggu jawapan sebelum masuk. Kalau ada perkara penting atau kecemasan, itu cerita lain.

Kadangkala, hubungan kekeluargaan bukan rosak kerana perkara besar. Hal-hal kecil yang berulang tetapi tidak pernah dibincangkan, boleh menjadi punca hati mula menjauh.

Akhirnya, kita kena ingat satu perkara. Hormat orang tua itu penting tetapi menghormati ruang peribadi anak yang sudah berumah tangga juga sebahagian daripada menjaga hubungan kekeluargaan.

Jadi geng, you all pernah alami situasi mak ayah atau mentua masuk bilik tidur tanpa mengetuk pintu? Atau you all sendiri rasa perkara ini biasa sahaja?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.