Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tak dengar orang berkongsi pengalaman selepas mula makan suplemen magnesium, tidur terasa lebih lena tetapi mimpi pula jadi lain macam? Ada yang mendakwa mimpi terlalu jelas, ada yang mengalami jalan cerita pelik dan ada juga yang bangun pagi masih teringat setiap babak seolah-olah baru selesai menonton sebuah filem!
Ada yang sampai tertanya-tanya, magnesium yang dimakan sebelum tidur itu sebenarnya membantu badan berehat atau sedang membawa kita mengembara ke dunia mimpi?
Fenomena ini mungkin kedengaran pelik tetapi perkongsian sebegini memang boleh mencetuskan rasa ingin tahu. Persoalannya, adakah magnesium benar-benar boleh menyebabkan mimpi aneh?
Magnesium ialah mineral penting yang terlibat dalam pelbagai fungsi badan, termasuk fungsi saraf dan otot. Sebab itulah suplemen ini sering menjadi pilihan individu yang mahu menyokong kesihatan tubuh, menguruskan keletihan dan memperbaiki rutin tidur.
Ada kajian yang meneliti kaitan magnesium dengan kualiti tidur. Namun, bukti saintifik setakat ini masih belum cukup kukuh untuk mengesahkan bahawa magnesium boleh merawat masalah insomnia secara konsisten.
Tidur lebih lena jadi mimpi pun makin banyak?
Sebenarnya, kita semua bermimpi ketika tidur, cuma tidak semua mimpi itu akan diingati apabila bangun pagi.
Mimpi yang jelas dan mempunyai jalan cerita kompleks biasanya berlaku ketika fasa REM (Rapid Eye Movement). Dalam fasa ini, aktiviti otak menjadi lebih aktif walaupun tubuh sedang berehat.
Jadi, adakah apabila tidur semakin lena, kita akan semakin banyak bermimpi?
Tak semestinya ya, Geng. Tidur yang lebih berkualiti tidak secara automatik menjadikan seseorang lebih banyak bermimpi. Sebaliknya, perubahan corak tidur dan waktu seseorang terjaga boleh mempengaruhi sejauh mana mimpi itu dapat diingati.
Contohnya, seseorang yang terjaga ketika atau sejurus selepas fasa REM mungkin lebih mudah mengingati jalan cerita mimpinya. Sebab itulah ada orang bangun pagi boleh bercerita panjang lebar tentang mimpinya, sedangkan ada pula yang langsung tidak ingat apa-apa.
Jadi, mungkin bukan mimpi kita yang semakin banyak tetapi kita yang semakin mudah mengingatinya!
Jadi, apa kena mengena dengan magnesium?
Di sinilah kita perlu membezakan antara pengalaman individu dengan fakta perubatan.
Walaupun terdapat individu yang berkongsi pengalaman mengalami mimpi lebih jelas atau pelik selepas mengambil magnesium, setakat ini belum ada bukti klinikal kukuh yang membuktikan magnesium secara langsung menyebabkan mimpi aneh atau mimpi buruk.
Ada kemungkinan pengalaman itu berkait dengan perubahan corak tidur, tekanan emosi, rutin harian atau faktor lain yang berlaku pada waktu sama.
Jadi, tidak semestinya setiap mimpi pelik selepas mengambil magnesium berpunca daripada suplemen tersebut.
Apa pun, kalau selepas makan magnesium mimpi tiba-tiba kahwin dengan anak raja yang tampan lagi gagah, jangan terus salahkan suplemen. Mungkin otak kita sebenarnya dah lama simpan angan-angan tu!
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.