Dengar playlist penuh di sini
.

Kadang-kadang kita tengok wartawan buat liputan, soalan demi soalan diajukan kepada individu yang ditemu bual. Tetapi kali ini seorang wartawan tempatan pula mencuri perhatian kerana kebolehannya bertukar-tukar bahasa ketika menjalankan tugas.
Bukan satu, bukan dua bahasa tetapi beberapa bahasa yang digunakan dengan cukup bersahaja. Memang boleh buat kita yang menonton rasa kagum!
Individu yang dimaksudkan ialah Husna Zainudin, wartawan Astro Arena yang baru-baru ini menjadi perhatian selepas rakaman temu bualnya tular di media sosial.
Menerusi liputan Kejohanan Remaja Antarabangsa Terbuka Malaysia (MIJO), Husna memperlihatkan kebolehannya bertutur dalam bahasa Tagalog (Filipina) dan Jepun selain Bahasa Melayu dan Inggeris.
Bayangkan sedang membuat liputan, tiba-tiba perlu berkomunikasi dengan atlet dari negara berbeza. Kalau kita mungkin sudah mula terkial-kial mencari perkataan yang sesuai tetapi Husna nampaknya cukup selesa bertukar bahasa mengikut individu yang ditemu bual.
Memang satu kemahiran yang bukan semua orang ada!
Sebenarnya, kebolehan menguasai pelbagai bahasa bukan sekadar nampak hebat di mata orang lain. Dalam dunia kewartawanan, kemahiran ini boleh menjadi kelebihan besar kerana wartawan perlu berinteraksi dengan pelbagai latar belakang, budaya dan negara.
Apabila seseorang wartawan boleh bercakap dalam bahasa yang difahami tetamu, komunikasi juga boleh menjadi lebih mudah dan mesra. Malah individu yang ditemu bual mungkin lebih selesa berkongsi cerita apabila tidak perlu terlalu bergantung kepada bahasa perantara.
Menariknya, Husna bukanlah nama asing dalam dunia kewartawanan sukan. Pada Jun 2026, beliau turut mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi wartawan pertama Astro Arena memenangi Anugerah Liputan Sukan Terbaik Media Elektronik pada Anugerah Media MBPJ 2026 menerusi laporan mengenai Soh Wai Ching.
Jadi, memang bukan sekadar petah bertutur dalam pelbagai bahasa, Husna juga mempunyai pencapaian tersendiri dalam bidang yang diceburinya.
Apa pun, kebolehan seperti ini wajar diberikan penghargaan. Ia mengingatkan kita bahawa menguasai bahasa lain bukan sekadar untuk kelihatan bijak tetapi boleh membuka lebih banyak peluang dan memudahkan kita berhubung dengan masyarakat dunia.
Tabik hormat buat Husna! Kita yang satu bahasa pun kadang-kadang boleh tersasul ketika bercakap. Hehehe!
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.