Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Tak Sudah² Kecam Parents Hantar Anak Darjah 1 Usia 6 Tahun?

Keputusan menghantar anak ke Darjah 1 pada usia enam tahun bukan alasan untuk ibu bapa lain menghukum. Setiap keluarga ada pertimbangan tersendiri.

Akhir tahun semakin menjelang. Sesi persekolahan 2026 pun bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Dalam tempoh ibu bapa mula membuat persiapan untuk tahun persekolahan baharu, isu kemasukan anak berusia enam tahun ke Darjah 1 bagi sesi 2027 kembali hangat diperkatakan.

Isu yang sebelum ini nampak seperti sudah reda, tiba-tiba kembali kecoh. Semakin dekat sesi 2027, semakin galak pula kecaman terhadap ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak mereka ke Darjah 1 pada usia enam tahun.

Ada yang tampil memberikan amaran, menakut-nakutkan malah ada juga yang seolah-olah mengugut ibu bapa supaya tidak menghantar anak mereka ke sekolah lebih awal.

Ada yang membawa kajian tentang perkembangan kanak-kanak, ada yang mempertikaikan tahap kematangan emosi dan mental malah ada yang membuat kesimpulan seolah-olah semua kanak-kanak berusia enam tahun belum bersedia untuk masuk ke alam persekolahan.

Tetapi persoalannya, adakah semua kanak-kanak sama?

Kita kena faham bahawa setiap anak membesar dengan kadar perkembangan yang berbeza. Ada yang mungkin masih memerlukan masa untuk menguasai kemahiran asas, ada pula yang sudah menunjukkan kesediaan dari segi pembelajaran, emosi dan sosial.

Begitu juga dengan ibu bapa. Setiap keluarga mempunyai latar belakang dan pertimbangan yang tersendiri.

Ada ibu bapa yang membuat keputusan selepas mendapat saranan guru tadika yang sudah lama memerhatikan perkembangan anak mereka. Ada yang merasakan anak sudah bersedia dan tidak mahu menangguhkan persekolahan tanpa sebab yang kukuh.

Ada juga ibu bapa yang mempertimbangkan faktor usia mereka sendiri. Mungkin mereka sudah berusia dan merasakan lebih baik anak memulakan persekolahan lebih awal selagi keadaan mengizinkan.

Tidak kurang juga yang melihat kehadiran abang atau kakak di sekolah yang sama sebagai satu kelebihan. Sekurang-kurangnya ada ahli keluarga yang boleh membantu memantau dan memberikan sokongan kepada adik, terutama dalam keadaan ibu bapa semakin bimbang dengan isu keselamatan dan buli di sekolah.

Apa pun alasannya, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan keluarga masing-masing.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka pilihan kemasukan Tahun 1 bagi kohort enam tahun (5+) bermula sesi 2027 secara sukarela. Kemasukan pada usia tujuh tahun pula kekal sebagai pilihan sedia ada.

Ini bermakna ibu bapa mempunyai ruang untuk menentukan laluan yang dirasakan sesuai dengan kesediaan anak mereka.

Jadi, tidak perlulah sampai mengeluarkan kenyataan yang menakutkan atau membuat ibu bapa lain berasa bersalah dengan keputusan mereka.

Kalau ada kajian yang boleh dijadikan panduan, kongsikanlah dengan baik. Kalau ada kebimbangan tentang perkembangan kanak-kanak, bincangkanlah secara berilmu. Itu jauh lebih bermanfaat daripada membuat generalisasi terhadap semua anak yang bakal memasuki Darjah 1.

Kita boleh berbeza pandangan tanpa perlu merendahkan keputusan orang lain.

Anak masing-masing, ibu bapa masing-masing yang lebih mengenali keperluan dan perkembangan anak sendiri. Selagi keputusan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya dan mengikut ketetapan KPM, hormatilah pilihan tersebut.

Tidak semua perkara perlu dijadikan medan untuk membuktikan siapa paling betul dalam dunia keibubapaan.

Cara terbaik untuk menjadi ibu bapa yang prihatin bukanlah dengan menentukan apa yang patut dilakukan oleh keluarga lain tetapi dengan memastikan anak sendiri mendapat perhatian, kasih sayang dan persediaan yang mereka perlukan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.