Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak sedang ketawa, tiba-tiba air kencing terkeluar sedikit? Atau setiap kali bersin, batuk dan melompat, ada pula kebocoran yang berlaku tanpa dapat dikawal?
Ramai wanita sebenarnya berdepan masalah ini, terutama selepas bersalin dan apabila usia semakin meningkat. Ada yang menganggapnya perkara biasa, malah ada juga yang memilih untuk berdiam diri kerana malu.
Sebab itulah Kegel Chair semakin mendapat perhatian. Tetapi sejauh mana sebenarnya kerusi ini mampu membantu masalah mudah terkucil?
Apa sebenarnya Kegel Chair?
Secara mudah, Kegel Chair ialah kerusi khas yang menggunakan teknologi gelombang elektromagnet untuk merangsang otot di bahagian bawah pinggul yang turut dikenali sebagai otot lantai pelvis.
Otot inilah yang membantu menyokong pundi kencing dan mengawal pengeluaran air kencing.
Bayangkan otot ini seperti penyokong yang membantu kita menahan kencing. Apabila otot semakin lemah, kawalan terhadap air kencing juga boleh terganggu.
Antara puncanya termasuk kehamilan, proses bersalin, perubahan hormon dan peningkatan usia.
Menariknya, individu yang menjalani rawatan Kegel Chair hanya perlu duduk di atas kerusi khas tersebut dalam tempoh tertentu.
Mesin akan menghasilkan rangsangan elektromagnet yang menyebabkan otot lantai pelvis mengecut dan mengendur berulang kali. Proses ini seakan-akan senaman Kegel tetapi pengecutan otot berlaku dengan bantuan mesin.
Sebab itulah rawatan ini sering dipromosikan sebagai pilihan untuk wanita yang mengalami masalah kencing bocor.
Namun, jangan terus anggap sekali duduk, masalah terus selesai.
Ada kajian yang menunjukkan rawatan menggunakan rangsangan magnetik berpotensi membantu mengurangkan masalah kebocoran air kencing.
Bagaimanapun, hasil kajian masih belum cukup kuat untuk mengatakan rawatan ini pasti berkesan kepada semua orang. Kesan terhadap kekuatan otot juga tidak sentiasa konsisten dalam setiap kajian.
Malah senaman Kegel biasa yang dilakukan dengan teknik betul masih menjadi antara kaedah utama yang disarankan untuk membantu menguatkan otot lantai pelvis.
Senaman ini boleh dilakukan sendiri tetapi lebih baik jika tekniknya dipelajari daripada doktor atau ahli fisioterapi yang terlatih.
Jika masalah terkucil berlaku berulang kali sehingga mengganggu aktiviti harian, jangan hanya bergantung kepada rawatan yang ditawarkan di pusat kecantikan atau kesihatan.
Dapatkan pemeriksaan terlebih dahulu untuk mengetahui punca sebenar. Ini kerana masalah terkucil bukan semuanya disebabkan oleh otot yang lemah.
Ada juga keadaan apabila seseorang terlalu kerap terasa hendak membuang air kecil dan sukar menahannya. Masalah seperti ini mungkin memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.
Kegel Chair bukanlah sekadar gimik kerana teknologi rangsangan otot ini mempunyai potensi dan sedang dikaji dalam bidang perubatan.
Namun jangan mudah terpengaruh dengan janji bahawa duduk beberapa sesi sahaja boleh menyelesaikan semua masalah.
Kesihatan tubuh badan bukan soal mencuba rawatan yang paling canggih tetapi mencari kaedah yang betul berdasarkan masalah yang sedang dialami.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.