Dengar playlist penuh di sini
.

Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan tentang ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak berusia enam tahun memasuki Tahun 1. Seperti biasa, apabila sesuatu perkara tular, akan muncul dua kumpulan. Satu menyokong, satu lagi mengecam. Yang menghairankan, kadang-kadang lebih bersemangat daripada ibu bapa yang membuat keputusan itu sendiri.
Ada yang berkata, “Kasihan budak tu, terlalu awal.”
Ada pula yang membalas, “Kalau anak dah bersedia, kenapa tidak?”
Sebenarnya, kedua-dua pendapat ini ada asasnya. Tidak semua kanak-kanak berkembang pada kadar yang sama. Ada yang pada usia enam tahun sudah mampu membaca dengan lancar, berdikari dan bersedia menghadapi suasana sekolah. Ada juga yang memerlukan sedikit masa lagi untuk membina keyakinan dan kematangan emosi. Kedua-duanya normal.
Yang tidak normal ialah apabila kita terlalu sibuk menentukan jalan hidup anak orang lain.
Lebih menarik, baru-baru ini timbul pula isu ibu bapa yang mengambil keputusan membatalkan pendaftaran pada saat akhir selepas mendapati anak mereka masih belum benar-benar bersedia untuk memasuki Tahun 1. Seperti biasa, belum sempat ibu bapa menarik nafas, ruangan komen sudah pun “menjatuhkan hukuman”.
“Siapa suruh gatal daftar awal?”
Aduhai… relakslah, weii.
Kita jangan lupa, inisiatif ini diumumkan dalam tempoh yang agak singkat. Ibu bapa juga hanya diberikan beberapa bulan untuk membuat keputusan sama ada mahu mendaftarkan anak atau tidak. Dalam tempoh itulah mereka perlu menilai perkembangan anak, berbincang dengan pasangan, mendapatkan pandangan guru, malah ada yang sanggup meluangkan masa setiap hari untuk melihat sama ada anak benar-benar bersedia.
Apabila semakin hampir dengan tarikh keputusan, ada ibu bapa yang akhirnya merasakan, “Tak apa, mungkin belum masanya.” Bukankah itu lebih bertanggungjawab daripada memaksa anak meneruskan sesuatu yang mereka sendiri belum yakin?
Lagipun, siapa yang boleh menjamin dalam beberapa bulan sahaja semua kanak-kanak akan menguasai kemahiran yang diperlukan? Ada yang berkembang dengan cepat, ada yang memerlukan sedikit masa lagi. Itu perkara biasa dalam proses pembelajaran.
Kalau akhirnya ibu bapa memilih untuk membatalkan pendaftaran, biarlah. Selagi ruang itu masih diberikan oleh Kementerian Pendidikan sehingga tempoh yang ditetapkan, itu hak mereka sebagai ibu bapa. Mereka yang akan menghantar anak ke sekolah setiap pagi, menemani menyiapkan kerja sekolah, membantu apabila anak menangis atau berdepan kesukaran. Bukan netizen yang sibuk menaip di ruangan komen.
Hakikatnya, tiada satu formula yang sesuai untuk semua kanak-kanak. Ada murid yang cemerlang walaupun masuk sekolah lebih awal. Ada juga yang berjaya walaupun bermula pada usia yang lebih tua. Kejayaan seseorang tidak ditentukan semata-mata oleh umur ketika melangkah ke Tahun 1 tetapi dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kesediaan emosi, sokongan keluarga, kesihatan dan persekitaran pembelajaran.
Kalau anda tidak bersetuju, itu hak anda. Tidak mahu menghantar anak pada usia enam tahun? Tiada masalah. Kalau anda yakin anak anda sudah bersedia, teruskan juga. Yang tidak perlu dijadikan pilihan ialah menghukum keputusan ibu bapa lain seolah-olah kita lebih mengenali anak mereka daripada mereka sendiri.
Kadangkala, menghormati keputusan orang lain jauh lebih mencerminkan kematangan berbanding menjadi hakim di ruangan komen. Yang akan melalui alam persekolahan itu ialah anak tersebut bersama ibu bapanya, bukan kita.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.