Dengar playlist penuh di sini
.
Ramai warga emas simpan je perasaan tapi mereka sebenarnya rindu nak dengar suara anak, tapi segan nak call dulu sebab “nanti dia sibuk”. Jadi mereka tunggu, telefon diletak dekat, bunyi notifikasi sikit pun terus disambar, berharap ia panggilan daripada anak. Tapi hari demi hari berlalu, dan panggilan yang ditunggu tak sampai-sampai. Kisah ini sebenarnya banyak terjadi.
Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 34.2 peratus warga emas Malaysia mengalami kesunyian, dan ini banyak berpunca daripada konteks anak yang tinggal jauh serta jarang menghubungi ibu bapa mereka.Jabatan Statistik Malaysia turut melaporkan lebih 200,000 warga emas di negara ini tinggal bersendirian, akibat urbanisasi yang menyebabkan anak-anak berpindah ke bandar besar sambil meninggalkan ibu bapa di kampung.
Yang paling menyayat hati,kebanyakan warga emas ini tak akan pernah suarakan rasa rindu tu. Fitrah ibu bapa memang begitu, mereka tak nak jadi beban kepada anak-anak yang mereka tahu sudah sibuk dengan kerja, rumah tangga sendiri, dan cucu-cucu. Jadi bila anak call, mereka jawab macam biasa, walaupun sebenarnya hati tu dah lama menanti-nanti panggilan itu. Bila anak tanya “nak apa-apa tak?”, jawapan yang keluar selalu “tak ada apa-apa pun”, sedangkan yang sebenarnya diperlukan cuma sedikit masa untuk berbual.
Kesunyian jenis ini memberi kesan kepada kesihatan mereka.Kesunyian kronik meningkatkan risiko kemurungan sehingga lima kali ganda, mempercepatkan penurunan kognitif, dan menurut satu meta-analisis oleh penyelidik Holt-Lunstad pada 2015, ia turut meningkatkan risiko kematian awal sebanyak 26 peratus setanding dengan risiko kesihatan akibat merokok atau obesiti. Dari segi fizikal, kesunyian dikaitkan dengan gangguan pola tidur, kelemahan otot, penurunan fungsi imuniti, dan peningkatan risiko penyakit jantung.
Untuk anak-anak yang tinggal jauh dari keluarga, anda kena faham satu perkara, diam warga emas bukan bermakna mereka okay. Ramai memilih untuk berdiam kerana budaya kita mengajar supaya “tak nak menyusahkan orang”, walaupun dalam hati mereka menghitung hari sejak panggilan terakhir atau ternanti-nanti panggilan mengatakan “adik balik minggu ni mak” atau “adik cuti lama sikit kali ni mak, nak spend time dengan mak kat kampung”.
Rutin mereka sekadar menonton rancangan TV yang sama setiap hari, duduk di beranda menunggu ada jiran lalu untuk sekadar bertegur sapa, atau ke surau lebih awal semata-mata untuk ada seseorang untuk berbual. Sebenarnya, walaupun sesibuk mana pun seorang anak, gunakanlah teknologi sebaiknya, panggilan video walaupun sekadar 10 minit, hubungi mereka pada waktu yang tetap setiap minggu, ini memberi kesan besar kepada kesejahteraan emosi warga emas berbanding panggilan yang tak menentu.
Anak-anak turut boleh galakkan ibu bapa menyertai Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di klinik kesihatan berdekatan, di mana mereka boleh berkongsi pengalaman dan beraktiviti bersama warga emas lain, satu cara berkesan mengurangkan rasa terasing tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kehadiran anak.
Kalau anda salah seorang anak yang membaca ni dan rasa bersalah sebab dah lama tak call, tak perlu tunggu hujung minggu atau cuti panjang. Angkat je telefon sekarang, walaupun sekadar nak tanya “ma/ayah dah makan ke belum”. Kadangkala itu sahaja yang mereka perlukan,bukan hadiah, bukan wang, tapi sekadar tahu yang mereka masih diingati.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.