Dengar playlist penuh di sini
.
Seorang wanita warga emas berusia 60-an tak sangka satu tindakan kecil boleh mengubah hidupnya dalam sekelip mata. Dia hanya tergelincir sedikit ketika ingin membetulkan langsir, kemudian terjatuh, impaknya pun tidak terlalu kuat. Tapi selepas itu, dia tak boleh bangun semula dan berasa sakit pada bahagian pinggul. Pemeriksaan doktor mengesahkan tulang pinggulnya patah, dan dia terpaksa menjalani pembedahan memasukkan besi supaya boleh berjalan semula. Puncanya, osteoporosis, atau penyakit tulang rapuh, yang selama ini tak pernah dia sedari wujud dalam badannya.
Kisah ini bukan kes terpencil, di Malaysia, sekurang-kurangnya separuh atau 50 peratus daripada wanita berumur 50 tahun ke atas mengalami patah tulang disebabkan osteoporosis, dengan kaum Cina mencatatkan kadar paling tinggi, diikuti Melayu dan India.Yang buat penyakit ini sangat berbahaya bukan kesakitannya tapi sifatnya yang senyap. Osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran yang ketara. Ia melemahkan tulang dari semasa ke semasa tanpa sebarang gejala, sehinggalah berlaku patah, selalunya akibat terjatuh yang kelihatan seperti tidak berbahaya langsung.
Ramai wanita menyangka osteoporosis cuma sebahagian daripada proses semula jadi penuaan yang tak dapat dielakkan, lalu mereka tak pernah fikir untuk buat pemeriksaan sehinggalah sesuatu yang buruk berlaku. Sebenarnya, punca utama berkait rapat dengan menopaus. Wanita boleh kehilangan sehingga 20 peratus jisim tulang dalam tempoh lima hingga tujuh tahun pertama selepas menopaus, tempoh kritikal di mana ramai yang sepatutnya mula buat saringan, tapi sebaliknya membiarkan begitu sahaja kerana tiada apa yang “terasa sakit”.
Bila patah tulang berlaku, ia bukan sekadar kecederaan biasa. Kepatahan paling lazim melibatkan tulang pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan dan bagi tulang pinggul khususnya, sesetengah kes tak akan pernah pulih sepenuhnya walaupun selepas pembedahan. Ramai pesakit yang mengalami patah tulang pinggul akhirnya kehilangan kebebasan bergerak, memerlukan bantuan berjalan buat seumur hidup, malah dalam kes yang teruk, ia boleh membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa akibat tempoh lama terlantar di katil.
Bukan semua wanita berisiko sama tinggi. Antara faktor yang meningkatkan risiko termasuk menopaus yang bermula awal sebelum umur 45 tahun, bentuk badan yang kecil dan kurus, sejarah keluarga terutamanya jika ibu atau nenek pernah alami patah tulang pinggul, kekurangan kalsium dan vitamin D dalam pemakanan jangka panjang, gaya hidup kurang aktif, serta tabiat merokok dan pengambilan alkohol berlebihan.
Kabar baiknya osteoporosis bukan sesuatu yang mesti diterima begitu sahaja tanpa tindakan. Pakar kesihatan menyarankan wanita mula buat saringan kesihatan tulang seawal peringkat pasca menopaus, melalui ujian yang dipanggil DEXA scan untuk mengukur ketumpatan tulang (Bone Mass Density). Semakin awal dikesan, semakin besar peluang untuk memperlahankan proses kehilangan jisim tulang melalui pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi, senaman menahan berat badan seperti berjalan atau naik tangga, serta rawatan ubat-ubatan jika diperlukan.
Kalau ibu, makcik, atau saudara perempuan you sudah melepasi usia 50 dan belum pernah buat saringan tulang, mungkin sudah tiba masanya untuk cadangkan lawatan ke klinik. Sebab berbeza dengan kebanyakan penyakit lain yang beri amaran awal, osteoporosis hanya “bercakap” selepas tulang sudah patah dan pada masa itu, pilihan yang ada jauh lebih terhad berbanding kalau ia dikesan lebih awal.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.