Dengar playlist penuh di sini
.
“Arwah ayah baru meninggal dunia, tetapi adik-beradik sudah mula bergaduh tentang harta.” ni bukan drama Melayu,tapi luahan sebenar seorang anak yang datang mendapatkan nasihat selepas kematian bapanya. Rumah masih atas nama arwah, wang dalam akaun belum diuruskan, tanah pula belum dibahagikan dan setiap orang rasa mereka yang paling berhak.
Situasi ni sangat sangat sangat sering berlaku, nilai harta pusaka tidak dituntut atau “harta beku” di Malaysia kini dianggarkan melebihi RM90 bilion, merangkumi tanah, wang simpanan tidak aktif, dan pegangan saham dengan sebahagian besar dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Lebih membimbangkan, kajian turut mendapati 70 peratus waris tidak menerima hak sebenar mereka, akibat kelewatan, salah faham, dan yang paling kerap kurangnya ilmu asas tentang faraid dan perancangan harta.
Bila tiada wasiat atau hibah yang dibuat semasa hayat, harta secara automatik dikategorikan sebagai harta beku sehingga selesai diuruskan mengikut undang-undang. Ramai anggap harta rumah keluarga automatik jatuh kepada anak sulung, atau siapa yang tinggal bersama ibu bapa selama ini, sedangkan itu bukan cara sebenar pembahagian faraid berfungsi. Salah faham inilah selalunya jadi punca api pergaduhan. Proses pembahagian yang sepatutnya selesai dalam beberapa bulan boleh tertangguh bertahun-tahun, malah ada kes tanah pusaka terbiar sehingga 20 tahun kerana lapan orang waris tidak dapat mencapai kata sepakat.
Realitinya, ia bermula daripada rasa tidak adil lalu di peram bertahun-tahun, anak yang menjaga ibu bapa sepanjang usia tua mereka rasa dia lebih layak mendapat bahagian lebih besar, sedangkan adik-beradik lain yang jarang balik menuntut bahagian sama rata mengikut faraid. Ada pula kes di mana seorang anak sudah lama menduduki rumah keluarga tanpa sebarang dokumen sah, manakala adik-beradik lain mahu menjualnya dan membahagikan hasil jualan. Situasi macam ni lah yang boleh jadi kes mahkamah bertahun-tahun lamanya.
Kabar baiknya, banyak daripada pergaduhan ni sebenarnya boleh dielakkan sepenuhnya dengan sedikit persediaan awal. Bagi orang Islam, wasiat dibenarkan sehingga sepertiga daripada harta selepas ditolak hutang dan kos pengurusan, manakala hibah pula membenarkan ibu bapa memberikan harta secara terus semasa mereka masih hidup. Sebagai contoh, seorang bapa menghibahkan rumah kepada isteri semasa hayatnya sendiri, dan selepas dia meninggal dunia, anak-anak tidak bergaduh langsung kerana semuanya sudah jelas didokumenkan lebih awal.
Kalau anda sedang berhadapan dengan ibu bapa yang semakin berusia dan belum pernah bincangkan soal harta, mulakan perbualan itu bukan dengan andaian bahawa ia akan jadi topik “tak sabar tunggu mereka pergi” pakar termasuk: senaraikan semua aset yang dimiliki, dapatkan nasihat daripada peguam syarie atau konsultan pusaka yang berkelayakan, dokumenkan keputusan secara rasmi bukan sekadar secara lisan, dan yang paling penting, maklumkan kepada semua waris supaya tiada siapa terkejut kelak.
Harta pusaka sepatutnya menjadi rezeki yang menyatukan, bukan punca yang memutuskan hubungan darah. Perbualan yang sedikit janggal hari ini, jauh lebih baik daripada pergaduhan yang boleh berpanjangan bertahun-tahun selepas ibu bapa tiada lagi untuk melerai.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.