Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Kenapa Kentut Orang Bau Macam Nak Pengsan, Sendiri Punya Ok?

Bau kentut sebenarnya sama tetapi kenapa reaksi kita berbeza? Sains menjelaskan bagaimana otak mempengaruhi cara kita menghidu.

Jujur saja.

Kalau orang sebelah kentut dalam lif, kita mungkin orang pertama yang tutup hidung, pandang siling dan pura-pura tidak tahu apa yang berlaku.

Tapi kalau kita yang kentut…

Entah kenapa, baunya macam “boleh tahan” saja.

Adakah kentut sendiri memang kurang busuk?

Jawapannya… sebenarnya tidak.

Dari sudut sains, kentut kita mengandungi gas yang sama seperti kentut orang lain. Bau yang kurang menyenangkan itu pula datang daripada sebatian sulfur yang terhasil apabila bakteria dalam usus memecahkan makanan tertentu seperti telur, bawang, daging dan kekacang.

Jadi kalau baunya sama, kenapa kita rasa kentut sendiri lebih mudah diterima?

Sebab otak kita sudah menjangkakannya.

Fenomena ini dipanggil habituation iaitu keadaan apabila otak menjadi kurang peka terhadap sesuatu rangsangan yang biasa berlaku atau sudah dijangka.

Sama seperti kita memakai minyak wangi kegemaran. Pada minit pertama, baunya sangat jelas. Tetapi selepas beberapa ketika, kita mula tidak menyedarinya walaupun orang lain masih boleh menghidu.

Begitu juga dengan kentut sendiri.

Apabila ia berlaku, otak sudah menerima maklumat bahawa bau itu datang daripada diri kita sendiri. Tetapi apabila bau yang sama muncul secara tiba-tiba daripada orang lain, otak menganggapnya sebagai sesuatu yang asing lalu memberi reaksi yang lebih kuat.

Sebab itu kadang-kadang kita boleh bertahan dengan bau sendiri tetapi terus mencari siapa yang melakukannya apabila datang daripada orang lain.

Lebih menarik, manusia secara purata kentut sekitar 10 hingga 20 kali sehari. Kebanyakannya berlaku tanpa kita sedar, termasuk ketika tidur.

Namun bukan semua kentut itu busuk.

Sebahagian besar gas yang keluar sebenarnya terdiri daripada nitrogen, karbon dioksida, hidrogen dan metana yang tidak mempunyai bau. Bau yang membuatkan kita menutup hidung itu hanyalah daripada sejumlah kecil gas yang mengandungi sulfur.

Sebab itu ada hari kita rasa semuanya terkawal tetapi ada hari pula satu rumah boleh tahu apa yang kita makan tengah hari tadi.

Walaupun sering menjadi bahan lawak, kentut sebenarnya adalah tanda sistem pencernaan sedang berfungsi. Ia menunjukkan bakteria baik dalam usus sedang membantu proses memecahkan makanan.

Yang perlu diberi perhatian bukanlah kekerapan kentut semata-mata tetapi jika ia datang bersama sakit perut yang teruk, darah dalam najis, penurunan berat badan atau perubahan mendadak pada tabiat membuang air besar.

Selepas ini, kalau terdengar bunyi “pruut” di tempat awam…

Jangan terus cari siapa pelakunya.

Kerana kemungkinan besar, orang yang paling yakin menuduh itu juga pernah berada di tempat tertuduh.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.