Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Awan Dania: Buat Ramai Gadis Berangan Terbang Di Awangan

Dania bukan pramugari sempurna. Dia lasak, selekeh dan selalu buat hal. Tapi itulah sebabnya kita tidak dapat berhenti menontonnya setiap minggu.

Ada drama yang kita tonton kerana jalan ceritanya menarik. Ada yang kita tonton kerana pelakonnya cantik atau kacak. Tapi Awan Dania adalah drama yang kita tonton kerana wataknya terasa seperti orang yang kita kenali dalam kehidupan sebenar.

Siapa Dania dan Kenapa Kita Suka Dia?

Awan Dania mula ditayangkan lebih kurang 18 tahun yang lepas. Ia berkisah tentang seorang gadis tomboi bernama Dania, yang dilakonkan oleh Scha Al-Yahya, yang mempunyai satu impian besar iaitu menjadi pramugari. Masalahnya? Dia jauh daripada gambaran pramugari yang sopan dan berdisiplin. Dania adalah kebalikan daripada semua itu.

Tetapi itulah yang buat penonton jatuh hati. Dania bukan wira yang sempurna yang mana watak Dania ini ada buat kesilapan, jatuh dan bangun kembali untuk dirinya terus berjuang walaupun semua orang meragui kemampuannya. Perjalanan itu terasa sangat nyata dan sangat dekat dengan pengalaman ramai penonton ketika itu.

Lagu Yang Masih Terngiang-Ngiang

Siapa yang tidak ingat lagu tema Awan Dania bertajuk “Terbang Ke Awan” nyanyian Atilia Haron? Lagu itu bukan sekadar lagu pembuka rancangan. Ia menjadi semacam lagu motivasi tidak rasmi untuk ramai remaja ketika itu. Tentang impian yang tinggi, tentang keberanian untuk mencuba walaupun ramai yang tidak mempercayai kemampuan dirinya tetapi Dania tetap tidak berputus asa walaupun jalan itu tidak mudah.

Kemudian pada musim ketiga, lagu tema ditukar kepada “Ilusi” oleh Adira, membawa warna baharu kepada siri yang terus berkembang. Drama ini berjalan selama hampir tiga tahun, dari Oktober 2008 hingga Mei 2011, merangkumi tiga musim penuh yang setia ditonton oleh peminat.

Kenangan Yang Tidak Pernah Lapuk

Awan Dania juga berjaya dipanjangkan menjadi filem pada tahun 2013, membuktikan betapa kuatnya hubungan emosi antara penonton dan watak-watak dalam drama ini. Scha Al-Yahya, Jehan Miskin dan juga barisan pelakon lain yang berjaya membawakan watak-watak yang diberikan pada mereka sehingga terasa seperti kawan lama pula rasanya pada penonton.

Bagi mereka yang pernah duduk di hadapan televisyen setiap malam Isnin menunggu episod baharu Dania, kenangan itu bukan sekadar tentang drama. Ia tentang zaman di mana hiburan televisyen masih menjadi tumpuan keluarga dan cerita seorang gadis tomboi yang bermimpi terbang ke awan berjaya membuat kita semua percaya bahawa impian tidak pernah terlalu tinggi.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.